Resepi Ayam Goreng Berempah

Resepi Ayam Goreng Berempah Yang Sedap

Bagi post ini, saya akan berkongsi resepi ayam goreng berempah yang memang mudah untuk dimasak.

Ayam goreng berempah sememangnya satu juadah yang sangat popular di Malaysia. Boleh dikatakan ramai yang menjual ayam goreng berempah ni bersama dengan nasi kukus. Ditambah pula dengan kuah kari dan sambal belacan, memang terangkat la. Biasanya ayam goreng berempah ni hidangannya agak besar. Ayam akan dipotong empat, tapi ada juga yang potong lebih kecil. Terpulang kepada selera masing-masing la.

Kalau saya, lebih gemar yang dipotong empat sebab nanti dagingnya akan lebih lembut kalau nak dibandingkan ayam yang dipotong kecil yang akan membuatkan ayam tu agak garing sedikit. Walaupun nampak macam rumit tapi sebenarnya nak sediakan ayam berempah ni sangatlah mudah.

Selain itu, ayam yang telah diperap dengan bahan-bahan berempah tu, boleh disimpan lama di dalam peti sejuk. Jadi bolehlah buat banyak-banyak sekali, lepas tu hanya tinggal goreng sahaja bila nak makan. Kepada mereka yang sibuk boleh la cuba resepi ayam goreng berempah ni pada hujung minggu buat stok untuk anak-anak.

Resepi Ayam Goreng Berempah

Resepi Ayam Goreng Berempah

Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam – Boleh potong 2 atau potong kecil
  • 1-2 sudu besar serbuk kari daging
  • Sedikit serbuk cili
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit gula
  • Bahan perasa (Ajinomoto)
  • Beberapa helai daun kari
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan Kisar Halus/Ditumbuk (Seeloknya ditumbuk):

  • 2 sudu besar biji ketumbar
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1/2 sudu teh jintan putih (kalau tak letak pun tak apa)

Bahan Kisar Kasar:

  • 6 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 2 inci kunyit hidup (ganti serbuk kunyit)
  • 3 batang serai

Cara-Cara Penyediaan:

  1. Basuh ayam yang sudah dipotong dan dikeringkan.
  2. Campurkan kesemua bahan yang telah ditumbuk halus tadi dengan bahan yang dikisar kasar ke dalam bekas yang berisi ayam yang telah dibasuh. Masukkan sedikit garam, gula dan ajinomoto.
  3. Gaulkan ayam dengan semua bahan tadi sampai sebati. Untuk memastikan rempah tadi cukup bahan perasanya, anda dinasihatkan untuk merasa sedikit sebelum diperap dan disimpan.
  4. Setelah selesai, tutup bekas ayam yang telah digaul tadi dengan wrapping ataupun dengan penutup (sebaiknya yang kedap udara) supaya ayam lebih lembut bila digoreng.
  5. Perap dan simpan ayam didalam peti sejuk. Lagi lama lagi bagus supaya semua bahan tadi dapat menyerap masuk kedalam daging ayam (Ada setengah orang kelar ayam untuk pastikan bahan dapat diserap masuk kedalam daging ayam).
  6. Goreng ayam yang diperap tadi dengan api yang sederhana. Api jangan terlalu kuat sebab bimbang bahagian dalam ayam tidak masak dengan sempurna.
  7. Pastikan minyak cukup banyak sehingga semua bahagian ayam tenggelam. Kalau yang ada ‘deep fry cooker’ tu lagi bagus. Agak-agak ayam dah masak bolehlah angkat dan toskan minyak. Untuk rempahnya pula, seeloknya kaut sebelum ayam masak, sebab rempah ni mudah hangit kalau dibiarkan lama dalam kuali. Ramai yang suka makan dan tabur rempah ayam ni dalam pinggan masing-masing sebab rasanya yang unik.

Selamat mencuba ya!!!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *