Resepi Ayam Masak Kicap Pedas

Resepi Ayam Masak Kicap Pedas Yang Power

Resepi saya pada kali ini sangat mudah dan resepi yang sangat disukai oleh anak-anak. Cuma untuk menambahkan lagi rasa padu dalam resepi ini, kita pedaskan sedikit resepi ayam masak kicap ini menjadi resepi ayam masak kicap pedas. Pada asasnya resepi ayam masak kicap ini sama sahaja di mana-mana pun sebab tidak ada ramuan istiwewa pun yang boleh membezakan ayam masak kicap. Mudah sahaja, kalau sesuatu masakan itu adalah berasaskan satu bahan yang kuat, maka rasa masakan itu agak sukar untuk diubah dan dalam kes resepi kita kali ini bahannya adalah kicap.

Sebelum ini saya ada juga tulis perkara yang sama dalam resepi kek pisang. Situasi kek pisang itu sama sahaja macam resepi ayam masak kicap ni.Tak pernah lagi saya rasa masakan ayam masak kicap yang terlalu berbeza. Makan kat mana-mana pun tetap rasa kicap juga. Cuma pengolahan bahan-bahan lain dalam resepi itu yang akan menjadikan sesuatu resepi ayam masak kicap itu lebih sedap sedikit berbanding yang lain. Saya sendiri pun tidak gemarkan ayam masak kicap, tetapi kalau ayam masak kicap pedas, lain pula ceritanya. Mungkin kombinasi antara kicap dan cili itu yang membangkitkan rasa berselera dalam resepi ayam masak kicap pedas.

Secara peribadi saya berpendapat, setiap surirumah patut jadikan resepi ayam masak kicap pedas ini sebagai salah satu resepi masakan harian mereka. Resepinya mudah, bahan-bahannya pun tidak terlalu rumit, dan yang paling penting adalah resepi ini sangat sedap dan sesuai diterima oleh setiap orang. Jadi tunggu apa lagi, ambil pen dan kertas salin resepi ayam masak kicap pedas ini menjadi salah satu daripada koleksi masakan anda. Selamat mencuba!!!

Resepi Ayam Masak Kicap

Bahan-bahan:

  • 1 ekor Ayam – potong 12
  • Sedikit serbuk Kunyit
  • Sedikit garam
  • 1 biji ubi kentang – hiris nipis dan goreng
  • 3 biji cili api – diketuk
  • 1 labu bawang besar – hiris bulat
  • 1 biji cili besar merah – dihiris nipis
  • ½ biiji cili benggala – dihiris tebal
  • 1 sudu besar cili kisar – ikut pedas disukai
  • Daun saderi/daun bawang – dihiris halus
  • 1 sudu kecil lada hitam – ditumbuk kasar
  • 1 keping Kulit Kayu manis
  • 3 kuntum Bunga lawang
  • 4 biji Buah pelaga

Bahan sos:

  • Kicap pekat
  • Kicap manis
  • Sos tomato
  • Sos tiram

Bahan-bahan kisar:

  • ½ labu bawang besar
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ inci halia

Cara-cara Penyediaan:

  1. Basuh ayam bersih dan lumurkan ayam dengan serbuk kunyit dan sedikit garam.
  2. Panaskan minyak dan goreng ayam separuh masak. Jangan goreng ayam sehingga garing.
  3. Panaskan minyak baru dan tumis rempah penumis seperti bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga bersama bahan-bahan kisar hingga naik bau wangi.
  4. Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili garing dan masak. Kacau sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan kicap pekat, kicap manis, sos tomato dan sos tiram. Kacau hingga sebati. Masukkan sedikit air.
  6. Setelah mendidih, masukkan serbuk lada hitam, bawang besar dan cili api yang diketuk. Kalau tidak mahu pedas jangan masukkan cili api.
  7. Akhir sekali masukkan ayam bersama ubi kentang yang digoreng. Gaul-gaulkan seketika dan masukkan lada benggala sebelum ditutup api.
  8. Sebelum dihidangkan, taburkan sedikit hirisan daun sadri atau daun bawang dan hirisan cili besar.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *