Resepi Ayam Masak Merah

Resepi Ayam Masak Merah Yang Tak Asing Lagi

Resepi ayam masak merah; rasa macam tipikal sangat resepi yang satu ni. Ayam masak merah ni dah jadi macam satu jenis makanan yang tersangat biasa tetapi paling selalu juga orang makan. Ibaratnya macam kereta Myvi la. Kadang-kadang rasa naik bengkak mata tengok bersepah sangat kereta Myvi kat jalan raya tetapi akhirnya beli juga sebiji. Pelik kan??? Macam tu la juga ayam masak merah ni. Letaklah lauk apa pun depan mata, kalau ada ayam masak merah pasti kita nak kaut juga walaupun seketul kan?? Jangan buat tak mengaku la.

Disebabkan oleh marheinnya ayam masak merah ni, jadi saya rasa wajib juga la saya kongsi resepi ayam masak merah untuk dicuba oleh anda. Mana tau tak sama dengan resepi ayam masak merah yang anda selalu buat dirumah. Dapatlah juga tambah resepi baru dalam koleksi masakan harian anda. Salah satu karektor yang menjadikan ayam masak merah itu hebat atau tidak adalah warnanya. Ya… anda pun pasti setuju bukan? Walaupun dalam keadaan kenyang, tapi kalau nampak ayam masak merah yang mempunyai warna merah supernova itu, pastinya nafsu makan datang membuak-buak. Saya ada seorang kenalan semasa bekerja di pejabat dahulu. Dia ni memang hari-hari makan ayam masak merah di kafeteria di pejabat saya tu. Setiap kali waktu memilih lauk-pauk, dia akan pusing sepanjang meja dan tengok-tengok lauk yang berlainan. Tetapi pengakhirannya dia tetap akan ambil ayam masak merah juga. Saya tak nafikan, ayam masak merah di kafetaria saya dulu tu memang sangat mengiurkan, tapi tidaklah sampai nak makan hari-hari. Bila saya tanya kenalan saya itu kenapa dia makan ayam masak merah setiap hari, dia jawab dia pun tak sedar, padahal setiap hari dia berniat nak makan lauk lain. Nak tergelak juga dengar alasan dia, tapi itulah dia penangan ayam masak merah kepada rakyat Malaysia ni.

Oleh itu, tips saya untuk anda kali ini, pastikan anda masak ayam masak merah anda dengan sedap, tapi pastikan juga warnanya menarik. Jangan lupa cuba resepi ayam masak merah ini… selamat mencuba!!!!

Resepi Ayam Masak Merah

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam – dipotong 12
  • Serbuk kunyit
  • 4 biji bawang besar – dikisar
  • 5 ulas bawang merah – dikisar
  • 5 ulas bawang putih – dikisar
  • 2 cm halia – dikisar
  • 15 – 20 tangkai cili kering – rebus sehingga lembut dan dikisar
  • 3 biji bawang besar – dipotong bulat
  • 5 ulas bawang putih – dihiris nipis
  • 2 cm halia – dihiris kasar
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 sudu besar sos cili
  • ½ cawan santan
  • Air secukupnya
  • 3 biji tomato – belah 4
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

Cara – cara Penyediaan:

  1. Lumurkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng ayam separuh masak. Pastikan ayam tidak digoreng sehingga garing.
  2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang merah,bawang putih, halia, bunga lawang dan kulit kayu manis. Tumis sehingga naik bau.
  3. Kemudian masukkan bahan-bahan yang dikisar dan gaul rata.
  4. Selepas itu, masukkan cili kering yang dikisar dan sos cili. Masak sehingga pecah minyak.
  5. Bila dah pecah minyak, masukkan ayam yang digoreng separuh masak tadi. Gaul ayam sehinga rata.
  6. Kemudian masukkan sedikit air mengikut kesesuaian.
  7. Tuang santan dan kacau biar sebati.
  8. Akhir sekali, perasakan dengan sedikit garam, gula dan bahan perasa sekiranya perlu. Boleh dimasukkan tomato dan lain-lain bahan hiasan mengikut kreativiti masing-masing.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *