Resepi Ayam Perap

Resepi Ayam Perap Yang Sihat

Selamat kembali semua. Kali ini saya nak tukar sikit menu kita, asyik resepi bihun je kan. Kita tukar pulak kali ni dengan resepi ayam perap. Siapa yang tak suka makan ayam???  Pelik la kan kalau ada yang tak suka makan ayam sebab ayam ni dikira macam makanan universal la. Semua orang boleh makan, tambah-tambah anak-anak, memang berebut la kalau masak ayam, siap sorok dalam nasi lagi.

Yang menjadi masalahnya, kita ni orang dewasa. Kadang-kadang jemu jugak asyik makan ayam je. Sebenarnya bukan apa, sebab kita asyik duk ulang resepi yang sama je. Sebab tu la jemu. Kalau tak ayam goreng berempah, ayam paprik. Lepas tu buat kari ayam tak pun paling senang ayam goreng. Ulang yang tu je la tiap-tiap minggu.

Kalau yang jenis tekak ular sawa tu memang tak jadi hal la kan. Letak sos sikit atas kayu kering pun dia boleh makan. Tapi sesetengah yang agak cerewet (macam saya la) memang akan jemu kalau asyik ulang lauk yang sama. Jadi untuk mengelakkan kejemuan itu melanda rumahtangga anda, apakata sekali sekala anda tukar sikit menu ayam wajib anda tu dengan salah satunya resepi ayam perap yang saya akan kongsikan ni.

Manalah tau suami/isteri masing-masing suka. Boleh la tambah satu lagi menu ke dalam menu harian keluarga anda. Resepi ayam perap ni memang senang sangat. Bahan-bahan yang digunakan pun tidak lah banyak sangat. Yang penting, kena perap lama sikit. Oh lagi satu, apa yang best tentang resepi ayam perap ni, ianya adalah antara makanan yang sihat tau. Jadi siapa yang nak diet ataupun cuba mangamalkan pemakanan yang sihat tu memang elok sangat cuba resepi ayam perap ni.

Bahan-Bahan Untuk Dikisar:

  • 1 labu bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • ½ inci lengkuas
  • 10 ulas bawang merah
  • 2 batang serai
  • 1 inci halia

Bahan-Bahan Lain:

  • 1 botol sos BBQ
  • 1 sudu besar serbuk paprika (saya suka pakai yang smoke)
  • 3 sudu besar madu
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 3 sudu besar mentega atau minyak
  • 1/2 cawan kicap pekat manis
  • ½ kiub stok ayam
  • 2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah lada hitam
  • Sedikit bahan perasa
  • garam secukup rasa

Cara-cara memasak:

  1. Potong ayam kepada 4 bahagian (Kalau nak masak seekor terus pun boleh). Basuh bersih dan keringkan airnya.
  2. Masukkan bahan – bahan A yang telah dikisar ke dalam mangkuk besar.
  3. Masukkan bahan – bahan B. Gaul sehingga sebati.
  4. Cuba rasa sedikit bahan- bahan yang telah digaulkan tadi. Kalau sudah puas hati dengan perasa semua bolehlah masukkan ayam yang telah dipotong.
  5. Lumurkan bahan-bahan campuran tadi dengan ayam sehingga meliputi keseluruhan ayam.
  6. Tutup mangkuk berisi ayam dan bahan perap dengan wrapping ataupun penutup.pastikan bekas tersebut kedap udara untuk mendapatkan ayam yang lembut.
  7. Simpan perapan ayam di dalam peti sejuk selama lebih kurang 3-5 jam. kalau nak lebih sedap biarkan semalaman. Lagi lama ayam diperap lagi kuat rasa bahan perapan tadi.
  8. Bila nk masak ayam tadi, anda boleh pilih sama ada untuk panggang, goreng ataupun masak dalam ketuhar.

Tips terakhir untuk resepi ayam perap

Untuk dapatkan serapan yang lebih baik, boleh cucuk-cucuk ayam tadi dengan garfu ataupun kelar sedikit. Resepi ini boleh juga digantikan dengan bahan lain seperti daging.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *