Resepi Bihun Goreng

Resepi Bihun Goreng Yang Mudah Dan Ringkas

Sekali lagi saya nak kongsikan resepi masakan yang sedap melibatkan bihun tak lain tak bukan bihun goreng. Sedap ke?? Bihun goreng ni nak kata sedap sangat-sangat pun tak ada la juga. Suruh la chef paling terkenal dalam dunia yang masak sekalipun tetap rasanya macam bihun goreng juga, tapi ada sesuatu yang istimewa tentang bihun goreng ni menyebabkan ianya sentiasa rasa boleh dimakan tanpa banyak komplen. Resepi bihun goreng ni sebenarnya tersangatlah senang. Saya pun tak tahu lah kenapa asal melibatkan bihun je mesti resepinya senang. Tapi walaupun senang, bihun goreng ni juadah favourite dan wajib untuk mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa kampung tau. Ditambah pula dengan minuman teh o panas.. Fuh… barulah sempurna mesyuarat tersebut (Tok ketua jangan marah naa).

Walaubagaimanapun, bihun goreng ni bukanlah hak mutlak mesyuarat jawatankuasa kampung sahaja, ianya juga adalah antara menu utama sarapan pagi rakyat malaysia selain roti canai dan nasi lemak. Saya sebenarnya dalam keadaan gelihati nak menulis resepi bihun goreng ni. Sebabnya rasa macam tak masuk akal pula bihun goreng pun nak dijadikan resepi. Tapi itulah dia, ada ramai juga sebenarnya yang tak tahu buat bihun goreng ni. Nak tanya mak nanti kena bebel pulak, nak tanya kawan nanti kena gelak pulak. Jadi sebagai tangungjawab moral rakyat malaysia yang prihatin, saya kongsilah juga resepi bihun goreng yang pastinya mudah dan sedap ni. Selamat mencuba ya!!!!

Resepi Bihun Goreng

Bahan-bahan:

  • 1 bungkus bihun – direndam hingga lembut & toskan airnya
  • 1 biji bawang besar – dihiris
  • sotong atau udang – (suka hati lah nak letak banyak mana)
  • Sedikit ayam atau daging – dipotong kecil
  • 1 mangkuk karot – hiris memanjang
  • 1 mangkuk kecil kubis – dihiris halus
  • 3 sudu besar cili kisar/cili giling
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar kicap lemak manis (saya biasa guna cap kipas udang)
  • Garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa
  • Minyak masak untuk menumis.

Bahan dikisar/ditumbuk:

  • 3 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 genggam ikan bilis – direndam

Bahan Hiasan:

  • Bawang goreng
  • Daun sup
  • Cili merah – dihiris nipis

Cara cara memasak:

  1. Panaskan minyak dan tumis hirisan bawang besar sehingga naik bau.
  2. Kemudian masukkan bahan yang sudah dikisar/ditumbuk tadi dan kacau rata sehingga naik bau.
  3. Perlahankan api sedikit supaya bahan tumisan tidak hangus, kemudian masukkan pula cili kisar dan kacau rata.
  4. Masak sehingga cili benar benar masak dan sehingga keluar minyak.
  5. Setelah itu, masukkan sedikit air, sos tiram, kicap, gula dan garam secukupnya..
  6. Masak lagi sehingga keluar minyak semula, masukkan karot dan sedikit air lagi untuk melembutkan karot. Pastikan karot ini dimasak agak lama sehingga lembut kerana karot memang agak lambat untuk lembut. Nak tau dah lembut ke belum boleh cuba tekan dengan sudu.
  7. Setelah pasti karot sudah lembut, barulah dimasukkan ayam/daging. Setelah ayam/daging masak, masukkan udang/sotong. Kerana sotong/udang tidak boleh dimasak terlalu lama nanti keras.
  8. Kemudian masukkan bihun. Kacau rata sehingga bihun lembut. Jika bihun belum cukup lembut, masukkan air sedikit demi sedikit.
  9. Akhir sekali, masukkan pula sayur kubis. Setelah sayur lembut, bolehlah tutup api. Tabur dengan bahan hiasan sebelum dihidangkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *