Resepi Bihun Sup

Resepi Bihun Sup Yang Ringkas Dan Sedap

Pada perkongsian kali ini, saya nak ajak anda semua main campak-campak je sebab juadah kita adalah resepi bihun sup. Betapa senangnya nak buat bihun sup ni sampaikan saya sejak daripada kecil lagi dah pandai buat tau sebab memang main campak-campak bahan je pun dah siap. Itu pun ramai lagi yang tak reti buat. Sebelum kita sambung bab memasak saya teringin nak bagi soalan cepu emas sikit sebab saya dah lama pendam ni. Macam mana ejaan bihun yang sebenar?? Bihun atau meehun atau meehoon?? Anda cubalah cari jawapan yang sebenar nanti bagi tau saya ye.

Baik, kita sambung balik bab resepi bihun sup kita tadi. Saya rasa semua orang patut tahu la nak buat bihun sup ni, sebabnya bukan apa, bila masa-masa kecemasan ada tetamu datang boleh la kita buat bihun yang senang ni. Nak masak benda lain takut tak sempat. Lagi pun memang kebanyakan rakyat Malaysia suka makan bihun sup, sebab tu selalu jadi pilihan tuan rumah masa Hari Raya. Sebab murah dan senang nak buat. Yang paling penting sekali sebab sedap.

Resepi Bihun Sup

Bahan-bahan Kuah Sup:

  • 1 ekor ayam atau daging – potong kecil (jangan bubuh ikan pulak ye)
  • 2 biji bawang besar – cincang halus/dikisar
  • 1 labu bawang putih – ditumbuk/dikisar
  • 3 inci halia – ditumbuk/dikisar
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar serbuk lada hitam (kalau lada hitam kasar tu tumbuk dulu bagi hancur)
  • 5 biji buah pelaga
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 2 kiub stok ayam/daging
  • Sup bunjut/Sup bunjut tulang
  • Air secukupnya (Sebaiknya guna air rebusan ayam atau daging)
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Sedikit gula
  • Sedikit garam
  • Sedikit bahan perasa

Bahan-bahan lain:

  • 2 bungkus bihun atau mee kuning (direbus atau dicelur sehingga lembut)
  • 1 ikat sawi – dipotong kecil
  • Daun sup – dihiris halus
  • Batang sup – dipotong serong
  • Bawang goreng
  • Sedikit taugeh

Cara cara memasak kuah sup:

  1. Tumis bawang putih,bawang merah, halia, dan kulit kayu manis. Tumis sehingga naik bau.
  2. Masukkan serbuk jintan manis, serbuk lada hitam dan buah pelaga. Kacau seketika.
  3. Masukkan ayam/daging dan kacau rata lagi sehingga ayam/daging kecut dan air ayam/daging tadi kering.
  4. Masukkan air rebusan daging/ayam sekiranya ada kemudian tambah lagi dengan air mengikut citarasa masing-masing. Kalau rasa nak kuah pekat, tambah sikit, kalau nak banyak tambahlah lebih sikit air tu.
  5. Kemudian masukkan kiub stok daging dan garam secukup rasa.
  6. Seterusnya, masukkan sup bunjut dan biarkan kuahnya mendidih.
  7. Masukkan sedikit gula, garam dan bahan perasa mengikut citarasa masing-masing.
  8. Setelah agak-agak nak tutup api, masukkan hirisan batang sup dan sawi. Jangan biar terlalu lama.
  9. Kalau agak dah puas hati dengan rasa, bolehlah tutup api dan dihidangkan dengan mee atau mee hoon.
  10. Taburkan bawang goreng, daun sup dan taugeh diatas bihun tadi.

Cili Kicap

Bahan-bahan:

  • Segenggam cili padi – 15 biji cili merah dan hijau
  • 3 ulas bawang putih
  • 3-4 biji limau kasturi – perah jus
  • Sedikit cuka
  • Kicap manis
  • Garam
  • Gula

Cara-cara:

  1. layurkan bawang putih dan cili padi di atas api sebelum ditumbuk.
  2. Masukkan air perahan limau kasturi, sedikit cuka dan kicap manis.
  3. Akhir sekali sesuaikan rasa dan masukkan garam dan gula.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *