Resepi Brownies

Resepi Brownies Bergelombang Aka Brownies Kedut

Sekali lagi kita kembali dengan resepi yang manis tetapi kali ini tidak comel sebaliknya berkedut-kedut dan bergelombang seperti laut china selatan. Itulah dia resepi brownies bergelombang yang saya khaskan untuk anda semua. Biasanya kalau di Malaysia ni kita dengar orang panggil ‘brownies kedut’ tapi saya nak tukar nama lain sikit jadi brownies bergelombang. Kalau yang tak pernah tengok rupa paras Brownies ni biar saya bagitau, memang luarannya berkedut-kedut dan bergelombang bukan rekaan semata-mata.

Sebenarnya memang brownies ni asal ciptaannya dah memang rupa macam tu. Saja orang Malaysia ni nak sensasikan namanya,maka ditambah lah kedut tu. Brownies dah lama terkenal seantero dunia tapi dalam negara kita baru-baru ni saja nama Brownies ni mula muncul. Brownies menjadi terkenal seluruh dunia kerana di Belanda, ada kedai-kedai kek yang menjual Brownies ganja. Anda jangan hairan pula, sebab kat sana ganja adalah sah disisi undang-undang. Disebabkan oleh Brownies ganja itulah maka negara-negara lain pun turut cuba membuat Brownies ganja. Oleh kerana kandungan ganja di dalam Brownies itu, maka sesiapa yang memakannya akan berasa khayal seperti orang menghisap ganja juga kesannya. Kalau dalam negara kita anda jangan buat pandai-pandai pula ye.

Berbalik kepada resepi brownies kita ni, saya rasa proses membuat brownies tidaklah sesukar mana, cuma mungkin anda perlu cuba beberapa kali untuk dapatkan brownies yang sempurna sebab jarang brownies ni boleh sempurna dalam percubaan pertama. Selamat mencuba resepi brownies ini!!

Resepi Brownies Kedut

Bahan-Bahan:

  • 400 gm coklat masakan – seeloknya guna dark coklat
  • 150 gm unsalted butter (haram guna salted butter)
  • 100 gm gula perang
  • 100 gm gula kastor
  • 4 biji telur berkualiti
  • 1 sudu kecil perisa vanilla
  • 100 gm tepung penaik
  • 30 gm serbuk koko

Cara-Cara penyediaannya:

  1. Potong coklat masakan kepada saiz yang kecil. Kalau tak nak potong pun tak jadi hal tapi tunjukkanlah perangai senonoh sikit. Sudahlah kat luar tak senonoh, kat dapur biarlah nampak keayuan sikit buat kerja tu. Untuk makan sendiri, saya galakkan anda gunakan coklat masakan yang bermutu tinggi sikit. Harganya agak keras tapi puas hati.
  2. Masukkan coklat yang dah dipotong kecil tadi ke dalam bekas bersama dengan butter. Kukus untuk mencairkan adunan. Setelah cair, gaulkan biar sebati.
  3. Kemudian masukkan gula kastor, gula perang, telur dan esen vanila ke dalam bekas yang berlainan. Jangan campur dalam adunan coklat tadi pula. Sebatikan menggunakan pemukul.
  4. Ayak campuran tepung penaik dan serbuk koko ke dalam satu bekas yang lain pula. Main dengan benda manis-manis ni memang banyak pakai bekas.
  5. Berbalik kepada adunan coklat tadi. Masukkan adunan telur dan gula yang telah diadun di dalam bekas yang berlainan tadi.
  6. Selepas itu, masukkan pula adunan tepung yang sudah diayak tadi sedikit demi sedikit ke dalam adunan utama.
  7. Sediakan loyang untuk adunan. Sapukan loyang dengan sedikit butter terlebih dahulu. Selepas itu lapik loyang dengan kertas kek sebelum adunan utama dituangkan ke dalam loyang.
  8. Panaskan ketuhar selama lebh kurang 15 minit denagn suhu 160 darjah celsius. Masukkan loyang berisi adunan tadi ke dalam ketuhar dan bakar selama 30 minit.
  9. Apabila sudah masak, jangan terus keluarkan dari ketuhar.Tutup ketuhar dan buka sedikit penutup ketuhar supaya haba dapat keluar perlahan-lahan selama 20 minit.
  10. Selepas itu, barulah brownies anda dikeluarkan dari ketuhar dan boleh dihidangkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *