Resepi Gulai Daging

Resepi Gulai Daging Terhebat Di Malaysia

Resepi ayam sudah, resepi bihun pun sudah, kali ni kita nak masak lauk gunakan daging pula sebagai bahan utama. Resepi yang akan saya kongsikan kali ni agak kontroversi sikit sebab namanya selalu diperdebatkan oleh banyak pihak. Yang belah utara menggelarnya gulai daging manakala tempat-tempat lain memanggilnya kari daging. Macam saya yang berasal dari negeri pantai timur ni, bila sebut je gulai daging ianya membawa maksud yang lebih umum. Gulai daging boleh jadi kari, boleh jadi masak lemak ataupun apa sahaja masakan yang berkuah kami panggil gulai. Tapi kalau orang-orang utara, gulai membawa erti yang spesifik iaitu kari. Kalau tak kena gaya boleh bergaduh la pasal nama benda alah ni. Jadi yang mana satu yang betul sebenarnya??? Itu saya tak boleh jawab sebab masih lagi dalam perbahasan, cuma untuk artikel kali ini saya akan gunakan nama resepi gulai daging sempena membodek mak mertua saya yang berasal dari Kedah.

Sebenarnya resepi gulai daging ni ada bermacam-macam mazhab. Saya sendiri pun masih lagi menuntut sebab walaupun pada asasnya semuanya kari, tapi bahan-bahan yang digunakan tu ada yang pelik-pelik tapi sedap. Kalau saya nak cerita perihal kari ni memang panjang la sebab sejarah masakan kari itu sendiri pun berjela-berjela faktanya. Mungkin lain kali saya akan kongsikan dengan anda. Kali ni kita fokus pada gulai daging sahaja ya… Bagi yang selama ni asyik duk buat gulai daging cara yang sama sahaja, apakata kali ni anda cuba guna resepi yang saya akan kongsikan ni sebab mungkin ada sedikit kelainan terutamanya penggunaan kerisik yang agak jarang orang biasa buat kari daging. Resepi ni saya curi-curi tengok kakak saya buat sebenarnya sebab kalau minta memang dia tak bagi punya. Kedekut ya ampun… kemudian saya juga tambahkan sedikit garam masala yang saya cedok dari beberapa resepi kari yang berasal dari India. Ha…nampak tak betapa luasnya ilmu ‘mengari’ ni. Jangan asyik tau membawang je ye… Jadi tunggu apa lagi, ringan-ringakanlah tulang tu untuk mencuba resepi gulai daging yang power ni. Selamat mencuba!!!!!

Resepi Gulai Daging

Bahan-bahan:

  • 400 gram daging (kalau guna daging frozen seeloknya direbus terlebih dahulu)
  • 2 biji ubi kentang – potong 4
  • 1 biji tomato – belah 4
  • 4 cawan santan pekat
  • 1 peket rempah kari daging (saya suka guna rempah kari Babas)
  • 3 sudu besar rempah garam masala (kalau tak ada pun tak apa)
  • 3 sudu besar kerisik
  • 3 cm halia
  • 3 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 5 biji buah pelaga
  • 5 biji bunga cengkih
  • 3 biji bunga lawang
  • Sedikit gula
  • Garam secukup rasa
  • Setangkai daun kari

Cara Memasaknya:

  1. Bersihkan daging dan potong kecil
  2. Panaskan minyak dalam kuali.(kalau nak lebih kick rasa daging, gantikan minyak dengan minyak sapi)
  3. Tumis bawang merah, bawang putih , halia , kulit kayu manis , bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga. Kacau sehingga naik bau.
  4. Kemudian bancuh rempah kari dengan sedikit air dan masukkan kedalam periuk.
  5. Kacau sehingga rata dan tunggu sehingga keluar minyak.
  6. Masukkan santan dan daging dan ubi kentang
  7. Kemudian masukkan tomato dan daun kari. Tambah sedikit garam dan gula mengikut kesesuaian. Masukkan kerisik dan kacau sehingga sebati.
  8. Kacau kuah dan masukkan rempah garam masala. Agak-agak bila daging serta ubi kentang telah empuk baru la di tutup api dapur.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *