Resepi Gulai Ikan

Resepi Gulai Ikan Yang Mudah Dan Ringkas Dimasak

Sekali lagi kita akan memasak resepi yang kontroversi macam resepi gulai daging, cuma kali ni kita tukarkan bahan utamanya iaitu daging kepada ikan. Untuk resepi ayam pula, ada juga perbezaan yang perlu diambil tahu. Disebabkan saya masih lagi dalam proses membodek mak mertua saya, jadi saya masih akan gunakan nama resepi gulai ikan. Saya bersedia dibenci oleh orang-orang selatan dan pantai timur kerana tidak menggunakan nama kari ikan. Walaupun resepi gulai ikan ni seolah-olah macam hanya tukar daging dengan ikan saja, tapi sebenarnya cara memasaknya juga sangat berbeza.

Bahan-bahan yang digunakan juga ada perbezaan. Kalau tidak takkanlah rempah kari ada yang untuk ikan dan ada yang untuk daging/ayam. Sebagai maklumat tambahan kepada yang tidak tahu, rempah kari ikan boleh juga digunakan untuk segala jenis makanan laut yang lain seperti udang, sotong dan juga ketam. Ye lah, mana la tau anda kat luar sana tu ada pulak yang lurus pergi kedai tanya rempah kari ketam, tak pasal-pasal kena gelak nanti.

Ada juga yang tanya saya, kenapa makan kari ikan kedai mamak tu rasa dia lain sikit. Baik, kelainan utama yang ada pada segala macam kari mamak ni adalah mereka tidak menggunakan santan langsung. Mungkin ada sesetengah mamak yang gantikan santan dengan susu sejat tapi ada yang memang tak bubuh langsung. Sebab itulah kari mamak ni tahan basi berbanding kari yang melayu buat sebab ada santan. Saya sendiri pun lebih gemar masak gulai a.k.a kari ni tanpa menggunakan santan sebab salah satunya kurang la sikit jumlah kolestrol dalam makanan kita.

Tapi kalau masak untuk mak dan adik beradik saya, memang kena maki la kalau tak letak santan. Nak buat macam mana lidah mereka semuanya dah biasa dengan kari Melayu. Jadi untuk mengelakkan tragedi yang sama berlaku kepada anda, maka kali ni saya masih akan kekalkan resepi gulai ikan a.k.a kari ikan ni mengikut cara kari melayu. Macam biasa, selamat mencuba ya!!!!

Resepi Gulai Ikan

Bahan-bahan:

  • 500 gram ikan ( Boleh guna ikan tongkol, tenggiri, bawal atau kembung)
  • 1 paket kecil rempah kari ikan
  • 6 ulas bawang merah – dihiris halus
  • 3 ulas bawang putih – dihiris halus
  • 3 sudu besar halba campur
  • 1 tangkai daun kari
  • 4 sudu besar tomato puree
  • Air asam jawa
  • 1 cawan santan pekat
  • 3 sudu besar garam masala
  • Kacang bendi
  • Tomato – dibelah 4
  • Cili hijau – dibelah 2
  • Sedikit gula
  • Sedikit garam

Cara-cara memasak:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih beserta halba campur.
  2. Tumis sehingga naik bau
  3. Campurkan rempah kari dengan sedikit air kemudian masukkan ke dalam periuk.
  4. Tumis sehingga rempah garing dan keluar minyak.
  5. Masukkan santan , air asam jawa dan tomato puree.
  6. Apabila sudah mendidih, masukkan ikan.
  7. Masukkan garam masala.
  8. Kemudian masukkan bendi, tomato dan cili hijau.
  9. Biarkan mendidih seketika masukkan daun kari kemudian dikecilkan api sehingga ianya pecah minyak.
  10. Masukkan garam dan serbuk perasa. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan.

Nota kaki

Untuk gulai ikan ni, jangan kacau terlalu kuat bila dah letak ikan sebab takut nanti ikan akan hancur. Kalau untuk daging ataupun ayam, tak mengapa. Untuk yang suka pedas pula, boleh tambahkan sedikit serbuk cili semasa memasukkan serbuka kari.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *