Resepi Hati Ayam Masak Kicap

Resepi Hati Ayam Masak Kicap Yang Perlu Dicuba

Kali ini saya akan berkongsi resepi yang menggunakan hati ayam pula. Saya rasa resepi hati ayam masak kicap ni semua orang pernah dengar. Biasanya resepi hati ayam masak kicap ni pasti orang akan campur dengan sedikit pedal ayam sebabnya bila kita beli ayam untuk masak ayam paprik atau ayam perap, mesti pedal dan hati ayam kita dapat sekali. Jadi untuk mengelakkan pembaziran, kita masak je semua sekali. Hati dan pedal ayam ni di kira sebagai organ dalaman. Kalau nak diikutkan tidak berapa elok juga makan benda-benda dalaman ni. Tapi pepatah cina ada cakap, sesuatu yang baik kalau berlebihan pun akan memudaratkan. Pokok pangkalnya pada kita. Janganlah anda pergi balun makan hati ayam sampai sekilo sehari. Memanglah jadi penyakit kalau rupa tu. Sekali sekala kita nak makan tidak menjadi masalah pun.

Hati ayam dan pedal ayam ni ada dua kelemahan sikit kalau nak masak. Pertama sekali, bau dia yang memang degil. Saya kalau lalu sebelah pasar yang jual hati ayam memang rasa nak mual sebab bau hanyir hati ayam ni memang kuat sangat. Sebab tu saya biasanya basuh hati ayam ni sama ada dengan tepung ataupun dengan air asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir hati ayam tu. Perkara kedua yang saya tak minat dengan hati ayam ni adalah bila tiba bab menggoreng. Dia punya letup tu sama laju dengan letup ikan keli.

Walaupun dah berpengalaman memasak tapi bila bab goreng hati ayam ni memang saya terlompat-lompat. Terpaksa la tutup dengan penutup periuk lepas dah campak hati ayam tu dalam kuali. Yang saya hairan, isteri saya kalau dia goreng hati ayam ataupun goreng ikan keli, tak ada pulak meletup-letup. Selamba je dia godek-godek hati ayam tu dalam kuali. Siap bernyanyi-nyanyi kecil lagi. Entah apa la rahsia dia pakai. Tapi macam mana pun saya kira resepi hati ayam ni boleh la anda jadikan menu tambahan kepada menu utama anda. Biasanya saya akan buat macam tu. Jadi jangan cerita panjang lagi, anda cubalah resepi sedap hati ayam bersama pedal ayam ni ya. Selamat mencuba!!!!

Resepi Hati Ayam Masak Kicap

Bahan-Bahan:

  • 300 Gram Hati & Pedal Ayam (Kalau nak masak hati ayam sahaja pun boleh)
  • 3 Biji Bawang Merah – Dikisar
  • 3 Biji Bawang Putih – Dikisar
  • 1 Biji Bawang Holland – Dihiris besar
  • 1 Inci Halia – Dipotong halus
  • Sedikit Kicap manis
  • Sedikit Sos tiram
  • Sedikit Sos Cili
  • Sedikit Sos Tomato
  • Cili padi – diketuk (kalau tak suka pedas tak perlu letak)
  • Minyak Masak
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • ½ kiub ayam
  • Serbuk kunyit
  • Cuka Makanan

Cara-cara memasak:

  1. Basuh hati ayam dan pedal ayam sebersihnya. Sebaiknya basuh dengan air asam jawa sebab nak hilangkan bau hanyir hati ayam.
  2. Kemudian, masukkan hati ayam dan pedal kedalam bekas. Lumurkan bersama dengan serbuk kunyit dan sedikit garam.
  3. Panaskan minyak dan goreng hati dan pedal ayam separa garing. Toskan semua minyak dan asingkan.
  4. Panaskan minyak (boleh gunakan minyak gorengan hati dan pedal ayam tadi) dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar hingga naik bau wangi.
  5. Selepas itu, masukkan Kicap Manis, Sos Cili, Sos Tomato dan Sos Tiram. Kacau hingga sebati.
  6. Jika anda suka berkuah, masukkan sedikit Air. Kemudian biar ia mendidih seketika.
  7. Masukkan Pedal dan hati ayam yang telah digoreng garing tadi, bersama-sama Bawang Holland dan cili padi
  8. Taburkan serbuk perisa ayam, garam & gula secukup rasa dan juga cuka.
  9. Gaulkan biar semua sama rasa, biarkan ia mendidih sekali lagi
  10. Siap dihidangkan untuk makan tengahari atau makan malam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *