Resepi Ikan Tongkol Masak Singgang

Resepi Ikan Tongkol Masak Singgang Yang Simple

Ikan tongkol ni memang popular di belah negeri pantai timur terutamanya Terengganu. Cuma ianya lebih dikenali sebagai bahan dalam masakan kari nasi dagang. Bagi peminat makanan daripada pantai Timur, anda pastinya tahu bahawa ada satu lagi resepi yang sangat sinonim dengan ikan tongkol iaitu Singgang. Ya, kali ini saya akan kongsikan dengan anda resepi ikan tongkol masak singgang yang memang tersangatlah simple dan antara juadah yang mampu membuka selera anda.

Walaupun bunyinya macam rumit dan susah, tapi sebenarnya resepi ikan tongkol masak singgang ni terlalu mudah sampaikan resepi yang saya tulis ni pun rasa macam main-main je. Asasnya masak singgang ni macam merebus ikan sahaja. Cuma anda kena campak beberapa jenis bahan dan ditambah sedikit bahan perasa secukupnya maka siaplah ikan tongkol masak singgang anda.

Terkenal di Terengganu

Kalau di Terengganu, ikan tongkol masak singgang ni memang sangat-sangat terkenal di tambah pula bila dihidangkan dengan ulam-ulaman dan budu. Kan… budu ni memang berhantu sikit. Kalau yang peminat budu ni memang sampai sanggup hirup budu tu mentah-mentah. Balik kepada ikan singgang tadi, betapa hebatnya ikan singgang ni sampaikan di Kuala Lumpur ada satu kawasan sekitar Chow Kit yang memang berderetan kedai makan yang khas menjual ikan singgang. Antara keunikan juadah ikan singgang ni adalah apabila campuran beberapa bahan-bahan yang boleh dianggap biasa sahaja, tapi dapat menghilangkan bau hanyir ikan. Kalau nak diikutkan, ikan kalau dimasak apa pun yang melibatkan merebus pastinya bau hanyir ikan tu akan susah nak hilang. Tambahan pula kalau ikan yang digunakan tu jenis yang kuat baunya macam ikan tongkol.

Tetapi singgang berjaya menghilangkan bau hanyir ikan malahan mencetuskan satu rasa yang sangat unik yang tiada pada mana-mana masakan dalam dunia ni. Kita ambil contoh kalau buat sup ikan. Bukan semua jenis ikan yang sesuai dijadikan sup ikan, biasanya hanya jenis-jenis ikan yang mahal sahaja yang kurang baunya seperti ikan merah. Itupun bermacam jenis herba perlu dimasukkan untuk menghilangkan hanyir ikan.

Cakap pasal ikan tongkol ni, saya pernah terbaca sebuah jurnal yang ditulis oleh seorang jurnalis mat saleh tentang kesan menjadikan ikan sebagai makanan utama terhadap tubuh badan manusia. Cerita dia memang panjang la jadi saya pendekkan, jurnalis tu cakap ikan yang mengandungi omega 3 yang tinggi mampu membantu perkembangan otak. Cerita mudahnya, orang yang selalu makan ikan omega 3 ni lebih cerdik berbanding orang lain. Antara ikan yang mengandungi omega 3 yang tinggi adalah seperti ikan Salmon, trout dan juga ikan tongkol!! Saya tak tau la betul ke tidak, tapi jurnalis tu cakap sebab tu keputusan peperiksaan di Terengganu lebih baik berbanding negeri lain kerana majoriti rakyat mereka kerap makan ikan tongkol. Kalau anda nak tau betul ke tidak, cubalah resepi ikan tongkol ni. Selamat Mencuba!!!!

Resepi Ikan Tongkol Masak Singgang

Bahan-bahan diperlukan:

  • 1 ekor ikan tongkol
  • 3 biji bawang putih (Dihiris nipis)
  • 3 biji bawang merah (Dihiris nipis)
  • 1 inci lengkuas (Dihiris nipis)
  • 1 inci kunyit hidup (Dihiris nipis)
  • 7 biji cili api
  • 4 batang bendi
  • 5 keping asam gelugur
  • 4 cawan air
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit gula

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Basuh ikan tongkol sebersihnya.
  2. Masukkan air ke dalam periuk secukupnya.
  3. Apabila air telah mendidih, masukkan hirisan bawang putih, bawang merah, kunyit hidup dan lengkuas ke dalam periuk.
  4. Kemudian, masukkan pula ikan tongkol, asam gelugur, cili padi dan bendi.
  5. Masukkan garam dan gula secukupnya.
  6. Siap untuk dihidang dan dimakan bersama nasi panas.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *