Resepi Kari Ayam Kampung

Resepi Kari Ayam Ala-Ala Kampung Power

Sebelum ini saya ada berkongsi beberapa resepi gulai ataupun kari dengan anda. Pada kali ini, saya akan kongsikan satu lagi resepi kari iaitu resepi kari ayam ala kampung yang ada sedikit perbezaan berbanding dengan resepi kari sebelum ini. Disebabkan tempoh membodek mak mertua sudah habis, maka kali ini saya akan menggunakan nama kari dan bukannya gulai. Resepi ayam masak kari kali ini memang agak istimewa sebab saya jadikan resepi ini ala-ala resepi kari yang berasal dari kampung.

Kalau anda nak lagi rasa kari ni berbeza, boleh gunakan ayam kampung daripada ayam daging biasa. Tak perlu la cerita banyak pasal ayam kampung, sebab semua orang patutnya dah tau apa yang berbeza dengan ayam kampung ni kan. Antaranya sebab ayam kampung ni adalah ayam organik. Kalau kat kampung tu dia main makan je apa saja dia jumpa sebab tu dia tak gemuk macam ayam daging. Walaupun tak gemuk, tapi kalau dapat masak ayam masak kicap atau ayam goreng berempah, konfem menjadi.

Tapi anda perlu ingat penyediaan ayam kampung agak lain sedikit sebab dagingnya biasanya agak liat berbanding ayam daging. Jadi pastikan anda merebus terlebih dahulu ayam tersebut sekiranya anda menggunakan ayam kampung. Kalau tidak nanti pakat makan chewing gum la anda sekeluarga. Kepada yang belum pernah makan resepi kari ayam ala kampung, bolehla anda cuba resepi ayam masak kari ini pada hujung minggu nanti ya!!!

Resepi Kari Ayam

Bahan-bahan diperlukan:

  • 500-600g daging ayam – dipotong kecil
  • 2 cm Halia
  • 2cm Lengkuas
  • 2-3cm Kunyit Hidup
  • 2 Ulas Bawang Putih
  • 4 Ulas Bawang Merah
  • 1/3 sudu mkn belacan
  • 2-3 batang Serai – Diketuk
  • 3 Sudu makan (penuh) rempah Kari Daging (jenama apa pun boleh)
  • 1/2 cawan Air Asam Jawa
  • 1-2 keping asam gelugor
  • 3 sudu makan Kerisik
  • 1/4 cawan pati santan
  • 2 Biji Kentang/Keledek (potong sederhana kecil)
  • 3 biji bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 5 biji bunga cengkih
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
  • Minyak untuk menumis
  • Air Secukupnya

Cara cara memasak:

  1. Terlebih dahulu,basuh ayam sebersihnya. Bakar ayam di atas api sehingga kulit ayam keperangan (kalau boleh sampai kelihatan bminyak) tapi jangan sampai hangit. Jika guna ayam daging mungkin sedikit berlemak jadi buang bahagian yg berlemak terlebih dahulu. Bakar keseluruhannya (guna penyepit masakan jika tiada dawai pemanggang). Kalau tak rajin nak bakar, boleh skip tapi kurang la sikit rasanya nanti.
  2. Dah siap dibakar, bahagian kulit ayam yg berlemak boleh lah dibuang. Potong ayam tersebut pada saiz sederhana kecil. Cuci bersih dan toskan.
  3. Kisar bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit hidup dan belacan.
  4. Panaskan minyak. Dah agak panas, masukkan bahan penumis seperti bunga lawang, kulit kayu manis dan bunga cengkih. Setelah naik bau, masukkan bahan yg ditumbuk/dikisar tadi, masukkan juga serai yg sudah diketuk/dititik. Kacau hingga kekuningan dan beraroma.
  5. Serbuk kari dicampur dengan setengah cawan air. Masukan ke dalam bhn yg sudah ditumis dengan perlahankan sedikit api.
  6. Kacau goreng sehingga kari masak dan pecah minyak. Tambah air jika perlu dan kacau lagi hingga kari berubah warna dan garing. Bila memasak masakan kari,adalah penting untuk memastikan kari yg dimasak benar-benar masak. Ini untuk mengelakkan rasa kari yg hambar dan mentah.
  7. Setelah kari masak (garing ye, takde air dah, tapi jangan sampai hangus), masukkan ayam dan gaul sebentar. Kemudian masukkan kentang. Kacau rata dan biarkan air ayam keluar sepenuhnya
  8. Tutup periuk dan kadang-kadang dikacau gaul supaya bahan-bahan meresap sekata. Pastikan air ayam dikeringkan. Bila air ayam sudah agak kering, kelihatan minyak sahaja dibahagian bawah.
  9. Dah pastikan air ayam kering, baru masukkan air asam jawa. Kacau seketika, barulah masukkan sedikit air agak-agak tenggelam ayam dan kentang.
  10. Masukkan bahan-bahan perasa seperti garam dan gula. Masak sehingga ayam empuk dan kentang masak. Renihkan lagi dan masukkan lagi sedikit air jika perlu.
  11. Setelah ayam lembut, masukkan kerisik, kacau rata dan barulah masukkan santan/susu sejat.
  12. Sebatikan semua rasa dan tunggu sehingga mendidih sebelum api dipadamkan. Minyak yg berlebihan (timbul dipermukaan) bolehlah dibuang jika mahu.

Itu sahaja cara-cara nya. Mudah kan? Jangan tunggu-tunggu lagi. Pergi beli bahan-bahannya dan cuba resepi ayam masak kari ini!!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *