Resepi Kek Kukus Mudah Dan Ringkas

Resepi Kek Kukus Mudah dan Ringkas Untuk Dimasak

Pertama kali rasanya saya akan menulis resepi berasakan kek ni. Sebelum ni, semuanya resepi makanan tradisional sahaja. Terus terang saya cakap, saya bukan peminat kek dan apa juga benda alah yang seangkatannya. Kalau pergi rumah orang hidang kuih muih, memang bercinta la saya nak habiskan. Sama juga kalau pergi mana-mana event yang dihidangkan makanan-makanan manis, orang lain berebut nak makan coklat, ais krim tapi saya lebih rela makan karipap pusing. Jadi agak pelik la kalau saya nak menulis resepi kek kukus mudah dan ringkas ni. Disebabkan tidak ada minat, maka saya juga tidak lah berapa pandai nak buat benda-benda kek ni. Bukan apa, rasa macam hilang kemachoan saya kalau buat kek. Dah la manis, comel pulak tu kan.

Oleh yang demikian, saya pun terpaksa lah menggunakan talian hayat saya iaitu isteri saya. Terbalik dengan saya, dia ni pulak kalau bab kek dan benda-benda manis memang handal ya ampun. Peti ais kat rumah saya ni memang tak pernah kosong dengan benda-benda macam tu. Hari ni ada lompat tikam, esok ada kuih talam pulak, lusa ada kek cheese. Entah masa bila dia buat saya pun tak tahu. Padahal dapur tu dikira macam kawasan saya la sebab yang memasak lauk harian memang saya. Biasanya saya akan melekehkan dia sebab tak terer sangat masak masakan tradisional, tapi kali ni disebabkan ada permintaan untuk resepi kek kukus yang mudah dan ringkas, maka terpaksalah saya menebalkan muka minta resepi pada isteri saya. Lepas tu apa lagi, berkepak dengan banggalah dia sambil perli-perli saya. Tapi yang penting saya dapat jugak resepi yang saya mahukan ni. Bila saya tengok balik, memang resepi kek kukus ni sangat mudah dan ringkas. Kalau saya buat sekejap je dah siap ni tapi demi mengekalkan kejantanan saya maka saya serahkan sahaja tangungjawab untuk cuba resepi ni kepada anda di luar sana. Selamat mencuba!!!!

Resepi Kek Kukus Mudah dan Ringkas

Bahan-bahan:

  • 3 biji telur
  • 1 cawan serbuk koko
  • 1 cawan gula pasir
  • 1 cawan susu cair
  • 1 cawan minyak masak
  • ½ cawan susu pekat manis
  • 1 ¼ cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung penaik
  • 1 sudu besar soda bikarbonat
  • 1 sudu besar perasa vanilla (tidak perlu jika tak mahu menggunakannnya)

Cara-cara memasak:

  1. Campurkan serbuk koko, gula, susu cair, susu manis dan minyak ke dalam periuk
  2. Gaul rata dan masak sebentar atas api kecil sehingga semuanya larut
  3. Tepung gandum, soda bikarbonat dan tepung penaik diayak menjadi adunan.
  4. Telur dipukul kembang bersama dengan perasa vanilla dan dicampur dengan campuran serbuk koko tadi.
  5. Gaul rata dan campur tepung sedikit demi sedikit.
  6. Gaul sebati dan tuang dalam acuan dan jangan sampai penuh sebab nanti takut adunan naik dan terlebih pula.
  7. Tutup acuan dengan aluminium foil agar tidak masuk wap.
  8. Kukus selama 1 jam barulah diangkat dan disejukkan

Bahan-Bahan Krim Coklat:

  • 1/2 cawan susu pekat manis
  • 1/2 serbuk koko
  • 1 sudu minyak masak

Cara-cara membuat:

  1. Gaul semua bahan di atas sehingga rata
  2. kemudian masak sebentar dia atas api yang sederhana kecil sehingga sebati.
  3. Siap untuk di tuangkan di atas kek anda

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *