Resepi Kek Pisang

Resepi Kek Pisang Yang Mudah Dan Ringkas Dibuat

Kali ini saya masih lagi dalam mood resepi yang berasaskan kek. Resepi kek yang saya nak kongsi dengan anda adalah resepi kek pisang. Tidak ada apa yang istimewa pun dengan kek pisang ni, tetapi saya yakin ramai generasi 80-an dan 90-an yang mempunyai memori dengan kek pisang. Seingat saya dulu tidak ada jenama roti dan kek yang pelbagai. Yang ada dan cukup diminati ketika itu hanyalah kek pisang. Apa yang menakjubkan, kek pisang masih lagi bertahan dan kekal relevan sehingga ke hari ini. Sebab itu ada yang memanggil kek pisang ini sebagai kek evergreen. Dari dulu sampai sekarang masih ada peminatnya yang tersendiri.

Rasa kek pisang ini sangat unik dan hampir sama sahaja walau apa pun jenamanya. Kalau anda ikut resepi kek pisang yang saya kongsikan ini, anda juga akan dapat hasilkan rasa kek yang sama seperti yang anda beli di kedai runcit. Kenapa boleh jadi macam tu??? Rahsianya terletak pada rasa pisang itu sendiri yang kuat dan masih sama walau apa pun jenis pisang yang anda gunakan. Saya tidak pasti sama ada diluar negara kek pisang mendapat sambutan yang sama seperti di negara kita ataupun tidak, tapi kalau bab buah pisang, mat saleh lebih gemar makan pisang berbanding dengan rakyat kita. Walhal, belakang rumah pun ada pisang. Sebab itu pisang ni adalah komoditi ketiga terbesar yang didagangkan di seluruh dunia. Selain daripada rasanya yang enak, pisang juga mempunyai khasiat yang sangat banyak. Saya tak pasti kalau anda perasan, tapi antara sebab kenapa dulu sewaktu kecil ramai ibu bapa yang suka berikan anak mereka makan kek pisang adalah kerana kek pisang sangat mengenyangkan. Ini adalah kelebihan pisang yang mungkin ramai tak tahu. Kandungan serat dan potassium dalam pisang itu boleh memberikan tenaga lebih banyak daripada makan sepinggan nasi.

Kalau tak percaya cuba tanya abang sado yang suka main besi dekat gym tu. Kebanyakan mereka mencampurkan pisang dalam shake protein yang mereka minum, sama ada sebelum ataupun selepas aktiviti mengangkat besi. Ini kerana pisang itu akan memberikan mereka tenaga yang banyak. Jadi kesimpulannya, anda kena cuba buat resepi kek pisang yang saya kongsikan ini dan jadikan ganti kepada snek bukan-bukan yang anda hadap masa jalan tengah jam tu. Selamat mencuba!

Resepi Kek Pisang

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung penaik
  • 1 sudu teh soda bikarbonat
  • 4 biji pisang – dilenyek (boleh guna pisang berangan,pisang emas taupun pisang cavendish)
  • 1 cawan minyak sayuran
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 1 cawan gula
  • 3 biji telur gred A

Cara-cara penyediaan:

  1. Ayak tepung gandum, tepung penaik dan soda bikarbonat ke dalam satu bekas.
  2. Adun bahan tersebut menggunakan pengadun. Boleh juga gunakan pengisar jika tiada pengadun.
  3. Perlahan-lahan, masukkan telur ke dalam adunan dan teruskan pengadun secara sederhana.
  4. Kemudian masukkan gula dan esen vanilla. Adun sehingga sebati dan berwarna keputihan.
  5. Akhir sekali, baru masukkan minyak dan pisang yang telah dilenyek ke dalam mesin pengadun.
  6. Panaskan ketuhar pada suhu 170 darjah celsius selama 10 minit.
  7. Sediakan loyang yang disapukan dengan sedikit mentega. Gunakan kertas minyak atau kertas kek untuk melapik loyang.
  8. Tuang adunan kek yang telah siap tadi ke dalam loyang.
  9. Masukkan loyang yang berisi adunan kek ke dalam ketuhar. Bakar selama 45 minit.
  10. Tunggu sejuk dan boleh dihidangkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *