Resepi Lasagna

Resepi Lasagna Yang Mudah Dan Cepat Dimasak

Pada artikel kali ini, saya akan berkongsi pula resepi yang berasal dari negara barat iaitu resepi lasagna. Sempena kali pertama saya menulis resepi berkenaan menu dari barat, maka kali ini saya akan menceritakan serba sedikit sejarah makanan yang dipanggil lasagna ini. Baik, pasti semua orang menganggap bahawa lasagna ni berasal dari Italy kan?? Sebab nama dia pun ada bunyi-bunyi Italy sikit tapi sebenarnya anda silap. Lasagna sebenarnya berasal dari Greek kuno yang mana nama Lasagna itu pun berasal dari perkataan Greek ‘Laganon’ yang bermaksud sejenis pasta yang pertama wujud. Ada juga yang cakap nama Lasagna ni berasal daripada bekas yang digunakan untuk memasak lasagna. Yang mana betul masih diperdebatkan. Asalnya dulu, lasagna ni bukanlah rupanya macam yang kita makan sekarang. Dulu ianya hanyalah lapisan-lapisan pasta dan sos. Sekarang dah macam-macam benda disumbatnya dalam lasagna tu kan.

Balik semula kepada sejarah asal Lasagna tadi, beberapa abad kemudian, banyaklah negara yang mendakwa bahawa lasagna ni asalnya dari negara mereka. Ala… macam kita dengan Indonesia la. Pasal rendang pun boleh bergaduh, apa la sangat Lasagna kan. Jadi dalam kes lasagna ni sudah tentulah negara Italy mendakwa yang Lasagna tu berasal dari negara mereka tapi dakwaan Italy tu dibangkang oleh Britain sebab mereka kata mereka dah ada buku resepi Lasagna ni dari tahun 1390 lagi. Akhirnya sampai ke sudah pun tak tahu siapa yang betul. Betapa hebatnya penangan Lasagna ni bukan setakat boleh buat negara bergaduh, malahan siap ada Hari Lasagna Kebangsaan lagi tau yang disambut pada 29 Julai setiap tahun.

Jadi kesimpulannya Lasagna ni bukanlah calang-calang makanan sebenarnya. Ianya mempunyai sejarah yang tersendiri. Berbalik kepada resepi lasagna kita ni, biasanya inti yang diletakkan dalam lasagna adalah inti daging tapi anda bebas untuk tukar kepada apa-apa bahan mengikut citarasa anda. Penggunaan roti sandwich juga sebenarnya adalah cara paling mudah. kalau nak diikutkan, lasagna ni rotinya pun perlu kita buat sendiri. Tapi sebab kita tak ada masa nak buat terlalu teliti, maka anda bolehlah ikut resepi ini berdasarkan cara masing-masing. Selamat Mencuba!!!!!

Resepi Lasagna

Bahan-bahan:

  • 5 keping roti sandwic
  • 150ml susu
  • Keju Mozzarella parut secukupnya
  • Keju Cheddar parut secukupnya
  • Sedikit mentega

Bahan untuk Inti Lasagna:

  • 1/2 kg daging cincang
  • 4 biji tomato | dipotong kiub kecil
  • 1 batang saderi |dipotong kiub kecil
  • 1 batang lobak merah |dipotong kiub kecil
  • 1 tin cendawan butang | dihiris nipis.
  • 1 tin kecil puri tomato
  • 1 sudu teh herba thymes dan oregano
  • 4 ulas bawang merah | dicincang
  • 3 ulas bawang putih | dicincang
  • Minyak untuk menumis
  • Garam dan lada sulah untuk perasa

Cara-cara memasak inti lasagna:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah serta bawang putih sehingga naik bau.
  2. Masukkan daging, herba thymes dan oregano. Masak sehingga jus daging kering.
  3. Kemudian masukkan lobak merah, saderi, tomato, dan cendawan butang.
  4. Seterusnya masukkan puri tomato dan biarkan sehingga kering.
  5. Akhir sekali perasakan dengan garam dan sedikit lada sulah.

Cara melapis Lasagna:

  1. Lumurkan bekas dengan sedikit mentega.
  2. Kemudian rendam roti dengan susu untuk membuat lapisan pertama.
  3. Untuk lapisan kedua, letak inti daging ke atas roti diikuti dengan taburan keju cheddar dengan secukupnya. Ulang langkah diatas sehingga habis dan pastikan lapisan paling atas adalah lapisan mengandungi keju cheddar.
  4. Tabur keju mozzarella sehingga menutupi permukaan atas lasagna.
  5. Bakar dalam ketuhar selama lebih kurang 45 minit dalam suhu 150C.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *