Resepi Lontong Original

Resepi Lontong Original Yang Mudah Dimasak

Disebabkan kita ni baru sahaja selepas menyabut Hari Raya Aidilfitri, maka saya teringat pula bedal lontong jawa di salah sebuah rumah rakan baru-baru ini. Saya sebenarnya bukanlah peminat lontong ni, tapi entahlah apa benda la yang mak kawan saya ni bubuh sampai sedap sangat lontong dia. Berkali-kali saya tambah. Dah namanya tukang masak kan, keinginan saya nak tahu pun membuak-buak tanpa dapat dibendung lagi. Tanpa menghiraukan segala rintangan yang mungkin akan saya hadapi, saya pun mendorong langkah satu persatu menuju ke bahagian dapur rumah kawan saya ni. Sampai sahaja saya ke bahagian dapur, mata saya terpaku melihat emak kawan saya yang memandang tepat kearah mata saya. Saya tidak hiraukan semua itu, saya mengenggam tekad yang menggunung, memajukan langkah perwira saya menghampiri wanita tersebut. Titisan peluh jantan mula membasahi dahi saya yang sedang penuh dengan tanda tanya. Apakah mungkin dia akan memberikan resepi lontong original yang saya dambakan ini???

Segala persoalan yang bermain di minda saya semakin hampir terjawab apabila kini saya berada betul-betul dihadapan si emak tadi. ‘makcik, ajar la saya resepi nak buat lontong ni. sedap ya ampun..’ sekali mak kawan saya tadi balas balik dalam bahasa jawa yang tidak mampu untuk saya tuliskan disini. Maka tamatlah penulisan berbentuk novel cinta tiga segi saya. Kita kembali kepada bahasa manusia normal.

Rupa-rupanya kawan saya ni berketurunan jawa. Patutlah rasa lontong dia lain macam. Bodek punya bodek, akhirnya mak kawan saya ni pun bagitahu juga saya resepi lontong original yang merupakan resepi keluarga mereka turun temurun dari tanah jawa lagi. Untuk anda yang tidak tahu, lontong ni memang berasal dari Indonesia. Disana memang ada sebuah daerah yang namanya lontong di kepulauan jawa. Jadi, jangan pandai-pandai nak klaim kata lontong ni asal dari Johor la, dari melaka la, abah anda yang asaskan la. Makanya, bila dah dapat resepi dari mak kawan saya tadi, saya pun cubalah buat di rumah. Fuh… memang meletup la resepi lontong original ni. Kalau anda tak percaya boleh tengok resepi di bawah dan cuba buat. Selama Mencuba!!!!

Resepi Lontong Original

Bahan-bahan:

  • 1/4 biji kubis
  • 1/4 biji sengkuang – potong panjang
  • 1 batang karot – potong panjang
  • 6 batang kacang panjang
  • 2 biji terung panjang
  • 1 biji kentang – potong 8
  • 2 keping fucuk – rendam dan potong kecil
  • 1 ikat soo hoon – rendam dan potong kecil
  • 1 keping tempe – potong dadu besar dan goreng
  • 2 keping tauhu – potong kecil dan goreng
  • 2 batang cili merah – hiris
  • 2 batang serai – ketuk
  • 1 cawan udang hidup – buang kulit
  • 2 santan kotak
  • Garam secukup rasa

Bahan kisar:

  • 8 ulas bawang merah
  • 1 inci kunyit hidup
  • 2 sudu besar udang kering – rendam dan tos

Cara-cara memasak:

  1. Masak bahan kisar bersama santan cair dan serai sehingga hampir mendidih, masukkan udang diikuti dengan sayur yang jenis keras sehingga sayur yang lembut.
  2. Masukkan santan pekat dan tauhu kering, cili merah serta garam. Sesuaikan rasa dan kepekatan.
  3. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan bersama dengan nasi impit, telur rebus dan kuah kacang atau sambal tumis.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *