Resepi Mee Kari

Resepi Mee Kari Astakona Power Dan Mudah

Wow. Tajuk lain macam sikit kan??? Kali ni saya akan bawakan anda satu resepi istimewa iaitu resepi mee kari Astakona. Saya letakkan nama tu sebab resepi mee kari ini senarai bahan-bahan yang digunakan sangat panjang macam lagu Taman Astakona. Memandangkan saya ni peminat lagu-lagu lama, jadi itulah yang terlintas dalam kepala saya.

Ok sebelum saya mengarut tentang lagu lebih panjang, saya nak ceritakan sedikit tentang resepi mee kari yang saya sediakan kali ini. Perkara utama yang anda perlu tahu tentang kuah mee kari ialah ianya tidak sama seperti rasa kuah kari yang biasa kita makan dengan nasi tu. Kuah mee kari ni agak cair sedikit berbanding kari biasa, dan rasanya juga agak manis-manis sedikit. Kalau yang pernah buat ataupun biasa makan mee kari mungkin mereka tahulah membezakannya, tapi yang mana tak tahu apa-apa pasal mee kari, pastikan anda berhati-hati mencurahkan rempah kari itu nanti. Jangan main tuang sahaja. Masukkan sedikit demi sedikit tengok kepada kesesuaian kuah kari yang anda mahukan.

Selain daripada itu, rasanya tidak ada apa-apa yang rumit sangat tentang mee kari ini walaupun senarai bahan-bahannya agak panjang berjela. Itu pun sebenarnya sebab bahan-bahan hiasan. Maklumlah mee kari ni banyak sikit bahan taburnya. Jadi saya harap perkongsian resepi mee kari kali ini akan tersimpan kemas dalam memori anda seperti mana lagu Taman Astakona. Selamat Mencuba!!

Resepi Mee Kari

Bahan bahan:

  • ½ ekor ayam – di potong kecil
  • 1 paket mee kuning- celur atau direbus
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 tangkai daun kari
  • 2 batang serai – diketuk
  • 1 paket rempah kari daging – dibancuh dengan sedikit air
  • 1 keping asam keping
  • 2 cawan santan pekat – kalau guna santan kotak lebihkan sedikit
  • 1 kg isi kerang atau lebih
  • Minyak masak secukupnya
  • 2 keping fishcake- dihiris nipis
  • 10 biji fish ball- dibelah 2 atu 4
  • 1 biji kentang – direbus dan ditumbuk
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
  • Air secukupnya
  • 3 keping tauhu kering – digoreng dan dihiris nipis
  • 2 fish cake – digoreng dan dihiris nipis
  • 4 biji telur – direbus dan dibelah dua
  • 8 biji limau kasturi – belah 2
  • Daun bawang – dihiris
  • Daun sup- dihiris
  • Cili besar merah dan cili besar hijau – dihiris halus
  • Sawi – dicelur sekejap
  • Taugeh – dicelur sekejap
  • Bawang goreng

Bahan-bahan untuk dikisar:

  • 6 ulas bawang besar merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 2 sudu besar cili kisar
  • 1 batang serai
  • 2 sudu besar udang kering- direndam hingga lembut
  • 100 gram udang putih – dibuang kulit

Cara-cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan penumis seperti kulit kayu manis, bunga lawang, dan buah pelaga. Selepas itu masukkan pula bahan-bahan kisar dan tumis sehingga naik bau.
  2. Kemudian, masukkan rempah kari yang sudah dibancuh dengan sedikit air. Kacau sehingga rempah kari betul-betul masak. Jangan gunakan api yang terlalu kuat.
  3. Setelah rempah kari betul-betul masak, baru masukkan air secukupnya dan biarkan mendidih. Masukkan ayam yang dipotong kecil dan biarkan sehingga empuk. Kuah mee kari biasanya agak sedikit cair berbanding kari biasa.
  4. Masukkan fish cake, fish ball, dan asam keping. Biarkan sehingga mendidih, bila kuah dah mendidih masukkan santan pekat. Perasakan dengan sedikit garam dan gula.
  5. Masukkan ubi kentang yang telah ditumbuk untuk mendapatkan kuah yang likat. Tapi jangan terlalu banyak. Pastikan sesuai mengikut keadaan kuah.
  6. Akhir sekali masukkan kerang dan sesuaikan rasa dan kepekatan. Bolehlah tutup api, angkat dan hidangkan.
  7. Jangan masak kerang terlalu lama untuk mengelakkan ianya menjadi liat.
  8. Masukkan sedikit mee ke dalam ke dalam mangkuk. Letakkan sawi, taugeh, telur rebus dan tauhu goreng mengikut citarasa masing-masing.
  9. Tuangkan kuah yang telah siap ke atas mee.
  10. Untuk lebih padu, tambahkan dengan sedikit perahan jus limau kasturi. Akhir sekali taburkan daun sup, daun bawang, cili dan bawang goreng.
  11. Sedia untuk dihidangkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *