Resepi Nasi Goreng Ayam

Resepi Nasi Goreng Ayam Kenangan Lama

Nasi goreng ayam. Ini adalah menu kegemaran ketika saya belajar di universiti dahulu. Sebabnya, nasi goreng ayam ni sedap, mengenyangkan dan paling penting murah serta mampu untuk poket seorang pelajar yang sentiasa kering. Kini saya sudah agak jarang makan nasi goreng ayam ni, sebab dah banyak menu lain yang boleh saya masak di rumah. Tetapi, sesekali kalau rindu nak makan nasi goreng ayam, saya akan pergi ke mana-mana restoran untuk merasa keenakan nasi goreng ayam. Disebabkan nasi goreng ayam ni mempunyai nilai sentimental yang agak tinggi terhadap saya, maka hari ni saya akan kongsikan resepi nasi goreng ayam yang mengikut citarasa kenangan dulu.

Resepi nasi goreng ayam ni ada banyak versi sebenarnya. Ada yang gunakan isi ayam dipotong kecil dan digoreng kunyit sebelum dihidangkan bersama nasi goreng. Selalunya kalau yang macam tu resepi nasi goreng ayam dari mazhab restoran ala Thai. Kalau di restoran mamak pula, biasanya mereka akan gunakan ayam goreng mereka yang telah tersedia di meja berlauk mereka. Seketul ayam yang besar tu dia akan potong dan campurkan sekali ke dalam nasi goreng kemudian. Jadi, terpulanglah pada citarasa masing-masing. Kalau saya, lebih gemarkan mahzab nasi goreng ayam cara mamak sebab ayamnya lebih lembut dan berjus kalau nak dibandingkan dengan ayam goreng kunyit yang agak keras dan garing.

Dari segi nasinya pulak, pada saya tidak menjadi isu sangat sebab yang menjadikan resepi nasi goreng ayam ni unik adalah kerana penggunaan ayam goreng tu, bukannya terletak pada nasi. kalau anda buat nasi goreng versi nasi goreng cina sekalipun, kalau dah dicampurkan dengan ayam goreng, maka tetap jadi nasi goreng ayam juga. Cerita panjang-panjang pun tak guna juga, jom cuba resepi nasi goreng ayam yang telah saya sediakan seperti di bawah. Selamat mencuba!!!!

Resepi Nasi Goreng Ayam

Bahan untuk Nasi:

  • 2 pinggan nasi sejuk
  • 5 biji cili api (ditumbuk)
  • ½ inci belacan
  • ½ labu bawang besar (ditumbuk)
  • 2 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu besar kicap manis
  • 2 sudu besar Ikan bilis
  • 1 biji telur
  • Sedikit minyak masak untuk menumis

Bahan-bahan untuk ayam goreng:

  • 3 ketul potongan ayam
  • 1 biji telur
  • Tepung goreng ayam
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh serbuk kari daging
  • garam secukupnya

Cara memasak ayam goreng:

  1. Basuh ayam sebersihnya.Keringkan airnya dan masukkan ke dalam bekas
  2. Bancuh tepung goreng ayam dengan sedikit air suam.Campur bancuhan tepung dengan serbuk kunyit dan serbuk kari daging.
  3. Pecahkan sebijik telur dan pukul sehingga sebati.
  4. Lumurkan ayam tadi dengan campuran tepung dan serbuk kunyit.
  5. Kemudian celupkan ayam yang sudah dibalut tepung tadi ke dalam telur.
  6. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga tenggelam.Gunakan api yang sederhana perlahan supaya ayam tidak hangit dan bahagian dalam masak sempurna.
  7. Setelah ayam masak,angkat dan toskan minyak yang berlebihan.
  8. Ketuk dan potong ayam ke dalam saiz yang dikehendaki.

Cara-cara masak nasi goreng:

  1. Masukkan minyak masak kedalam kuali, tumis bawang besar,cili dan bawang putih yang telah ditumbuk tadi.Kacau sehingga naik bau.
  2. Pecahkan telur kedalam kuali dan kacau sebati dengan bahan tumis.
  3. Masukkan ayam goreng yang telah dipotong tadi.
  4. Seterusnya masukkan nasi sambil dikacau lagi dan masukkan pula sos tiram, kicap cair dan kicap manis. Kuatkan api dapur dan kacau nasi dengan cepat. Bila semuanya bercampur bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama lauk-lauk lain.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *