Resepi Nasi Minyak

Resepi Nasi Minyak Simple Terbaik Dan Mudah Dimasak

Resepi yang akan saya kongsi pada kali ini agak berisiko tinggi. Jangan cuba-cuba masak tanpa pengawasan isteri masing-masing kerana bimbang akan terbawa-bawa ke dunia nyata. Kalau isteri pula, jangan selalu-selalu sangat masak resepi ni sebab berkemungkinan akan menghantar mesej yang salah kepada suami masing-masing. Saya tidak akan bertangungjawab sekiranya anda mendapat ‘adik’ atau ‘kakak’ baru selepas menyediakan resepi ini. Saya nak tulis nama resepi ni pun sekarang dah terbayang bunyi kompang. Itulah dia penangan resepi nasi minyak simple ni yang memang sinonim dengan majlis perkahwinan. Al maklumlah, kalau orang bujang tak jadi hal sangat dia nak sebut nasi minyak seribu kali pun tapi kalau yang dah kahwin ni, bab-bab macam ni memang sensitif sikit.

Tapi macam mana pun saya tetap akan berkongsi dengan anda resepi nasi minyak simple yang sedap ni. Mana la tahu kalau ada kaum keluarga yang terdekat nak buat majlis perkahwinan ataupun apa-apa majlis sekalipun, bolehlah anda masak nasi minyak untuk mereka.Tak perlulah lagi upah orang ataupun gunakan perkhidmatan katering. Jimat banyak tau kalau masak sendiri. Padahal bukan susah sangat pun nak buat nasi minyak ni. Tambahan pula dia punya jodoh cuma ayam masak merah dengan acar timun je. Semuanya lauk yang cukup mudah untuk disediakan. Kalau yang ada ahli keluarga yang ramai tu, boleh je bergotong royong masak sendiri untuk apa-apa majlis. Tapi sebelum anda masak nasi minyak ni dalam kuantiti yang banyak untuk tetamu yang ramai, saya nasihatkan anda cuba-cuba dulu buat sedikit di rumah.

Dah cukup handal nanti barulah boleh buat untuk kuantiti yang besar pula. Mana tahu rezeki anda, kalau ada yang suka hasil masakan anda nanti ada yang nak buat tempahan pula. Asalkan jangan suami anda yang buat tempahan sudah. Saya dah cuba ringkaskan seberapa yang boleh resepi nasi minyak simple ni, jadi saya harap anda cuba-cuba lah nanti ya!!!

Resepi Nasi Minyak Simple

Bahan-bahan:

  • 3 cawan beras basmathi
  • 3 cawan air
  • 1 cawan susu cair
  • ½ cawan kismis
  • ½ cawan kacang gajus
  • 2 helai daun pandan, siat 2 dan simpul
  • 1 batang serai di titik
  • 1 inc halia di hiris kasar
  • 4 ulas bawang merah di hiris
  • 2 ulas bawang putih di hiris
  • 2 sudu besar minyak sapi
  • 1 sudu besar minyak jagung
  • Sedikit garam
  • 1 sudu teh maggi secukup rasa
  • Pewarna kuning telur

Rempah tumis:

  • 2 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 5 kuntum cengkih
  • 3 biji pelaga

Cara cara memasak:

  • Cuci beras basmathi bersih-bersih dan rendam semalaman. Ini syarat nak dapatkan tekstur beras yang tidak melekat nanti.
  • Panaskan periuk, kemudian masukkan minyak sapi dan minyak jagung ke dalam periuk.
  • Tumiskan bahan – bahan penumis, daun pandai dan serai hingga naik bau harum.
  • Masukkan hirisan bawang merah, bawang putih dan halia. Masak sehingga harum baunya.
  • Masukkan susu cair.
  • Masukkan air secukupnya.Kacau sehingga sebati.
  • Perasakan dengan garam.(agak-agak la ye)
  • Tambahkan Maggi Cukup Rasa jika suka dan kacau rata.
  • Masukkan beras Basmathi yang dah direndam tadi.
  • Kacau biar rata dan tutup periuk. Biarkan nasi ditanak seperti biasa.
  • Setelah nasi kering dan hampir masak, buat lubang menggunakan chopstick atau pemegang sudu.
  • Titikkan pewarna kuning telur ke dalam lubang tersebut.
  • Kemudian gaulkan nasi dengan senduk.
  • Tutup priuk dan tunggu sehingga nasi betul-betul masak.
  • Setelah nasi masak, bolehlah dikaut dan dihidangkan dengan ayam masak merah dan acar timun.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *