Resepi Nasi Tomato

Resepi Nasi Tomato Yang Paling Mudah Dan Sedap

Selamat bersiaran kembali dan sebelum ini saya pernah kongsikan resepi berstatus kontroversi iaitu nasi minyak. Kali ini saya nak sambung pula dengan adik beradik dia, seangkatan resepi yang berasaskan nasi, tak lain tak bukan resepi nasi tomato. Hebat kan orang Malaysia ni. Nasi pun boleh ada macam-macam resepi. Kadang-kadang saya terfikir juga, macam mana la orang dulu-dulu ni mencipta resepi masakan yang ada sekarang ni. Saya memang ada rancangan nak buat kajian tentang asal-usul resepi-resepi makan tradisional yang ada di Malaysia. Tengoklah nanti kalau ada kesempatan saya akan kongsikan dengan anda.

Baiklah, kita teruskan dengan resepi nasi tomato yang sedap ni. Sebenarnya asas resepi yang berasaskan nasi ni agak sama sahaja cara memasaknya, yang berbeza hanyalah bahan-bahan yang digunakan sahaja. Kalau dalam kes nasi tomato kita ni, dah tentulah bahan asasnya adalah tomato. Jangan pandai-pandai ganti dengan labu pula ya…. Jadi disebabkan resepi nasi tomato ni hanyalah nasi, mestilah dipadankan dengan lauk-lauknya sekali.

Tak kan la anda nak makan nasi semata pula kan. Pasangan nasi tomato yang paling ideal setakat ini adalah ayam masak merah dan juga acar timun (sesetengah tempat panggil jelatah). Untuk memudahkan anda, saya sertakan sekali resepi ringkas untuk ayam masak merah dan juga acar timun. Selamat mencuba!!!!

Resepi Nasi Tomato

Bahan-bahan untuk tumis:

  • 2 sudu besar minyak sapi
  • 1 batang kayu manis
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 1 biji bawang besar – dihiris halus
  • 2 ulas bawang putih – dicincang hancur
  • 1 inci halia – diketuk atau dipotong nipis

Bahan-bahan lain:

  • 1 cawan susu cair (susu sejat)
  • 1 sudu besar tomato puree (Kalau rajin boleh kisar sendiri buah tomato)
  • 2 sudu besar sos tomato
  • Garam secukup rasa
  • 3 cawan beras basmathi – cuci dan rendam
  • 1 helai daun pandan – disimpul
  • 3 – 4 cawan air (Bergantung kepada jenis beras yang digunakan)

Bahan-bahan tambahan jika nak:

  • Hirisan daun bawang
  • Daun sup
  • Bawang goreng
  • Kismis
  • Kacang gajus

Cara-Cara Memasak:

  1. Tumis bahan A sampai naik bau
  2. Masukkan semua bahan B kecuali beras, kacau sehingga sebati.
  3. Kemudian masukkan beras dan air dengan sukatan yang betul.(Macam masak nasi biasa,ikut sukatan beras yang digunakan)
  4. Kacau nasi tomato setiap 10 minit supaya kandungannya sebati.
  5. Setelah nasi masak,bolehlah taburkan bahan-bahan hiasan yang ada.Siap untuk dihidangkan bersama dengan lauk-lauk lain.

Bahan-bahan Untuk Membuat Ayam Masak Merah:

  • ½ ekor ayam dipotong kecil (Boleh ganti dengan daging atau kambing)
  • Minyak untuk menumis
  • 1 biji bawang besar – dihiris nipis
  • 8 sudu besar cili giling
  • 8 sudu besar sos tomato (Ini pun terpulang kepada citarasa masing-masing)
  • 2 inci halia – dipotong nipis
  • 2 batang serai – diketuk
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula

Cara-cara Memasak:

  1. Masukkan minyak ke dalam kuali, panaskan.
  2. Tumiskan bawang, halia, serai sehingga naik bau dan masukkan cili giling dan sos tomato, dan biarkan sehingga mendidih.
  3. Kemudian masukkan ayam dan gaulkan sehingga rata, masukkan juga gula dan garam secukup rasa.
  4. Masak sehingga kering sedikit dan hidangkan dengan taburan bawang goreng.

Bahan-bahan Acar:

  • Timun – dipotong nipis
  • Lobak merah – dipotong memanjang
  • Nenas – dipotong kecil (kalau tak suka nenas tak perlu letak)
  • Bawang besar – di mayang halus
  • Cili padi – dihiris nipis
  • Cili merah –dihiris nipis
  • Sedikit Cuka
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Cara-cara membuat acar:

  1. Masukkan semua bahan-bahan utama ke dalam mangkuk atau bekas.
  2. Masukkan cuka
  3. Perasakan dengan garam dan gula.
  4. Gaul sehingga sebati.
  5. Siap untuk dihidangkan.(Nak lagi sedap, simpan dulu dalam peti sejuk seketika

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *