Resepi Puding Coklat

Resepi Puding Coklat South Carolina Oleh Orang Malaysia

Hello everybody… eh?? apahal berhello-hello pula ni??? Sebabnya hari ni saya nak kongsi resepi yang berasal dari US tau. Jangan kata abang tak payung. Resepi puding coklat South Carolina ni sangat istimewa sebab memang saya bawakan untuk anda resepi yang original dari negeri South Carolina USA. Tapi anda jangan salah faham pula ye, hanya resepi ini yang berasal dari South Carolina, tetapi puding secara umumnya berasal dari negara Perancis.

Nama puding itu pun asalnya daripada perkataan Perancis iaitu ‘Boudin’, yang cara sebutannya macam sebutan nama orang Melayu Budin (kelas kau Budin). Malangnya, macam biasa la, bila melibatkan benda-benda manis dan comel ni maka sudah tentulah ianya tidak datang daripada saya .Resepi puding kali ni adalah resepi agung isteri saya. Ceritanya, sebelum kami berkahwin, dia pernah bekerja di negeri South Carolina ni. Mungkin juga la sebab tu dia lebih pandai dalam masakan yang ala-ala mat saleh ni. Resepi puding ini juga adalah makanan pertama yang dia pernah masak untuk saya dulu masa tengah bercintan-cintun (amacam bersemut tak??).

Untuk kisah selanjutnya boleh dapatkan novel jiwang leleh saya yang akan berada dipasaran nanti. Hari ni kita nak cerita bab masak. Kenapa resepi puding coklat??? Sebenarnya banyak lagi resepi-resepi yang berkaitan benda-benda manis ni yang saya boleh korek daripada isteri saya, tapi dia cakap banyak daripada resepi tu semua yang tak boleh dibuat sebab banyak bahan-bahannya yang memang tidak ada dijual di Malaysia. Antara resepi yang bahan-bahannya mudah dan boleh didapati di sini, salah satunya resepi puding coklat ni. Kalau anda tengok resepi ini pun, memang bahan-bahan yang digunakan pun agak mudah kalau kita nak cari di pasaraya dalam Malaysia, dan yang paling penting cara membuatnya sangatlah senang.

Puding ni juga sangat sesuai untuk dijadikan hidangan sampingan dalam majlis-majlis perkahwinan ataupun hari jadi. Saya pasti budak-budak dengan bapa-bapa budak pun mesti suka makan. Lagi cantik kalau puding ni dihidangkan dalam gelas kaca yang kecil. Selain daripada puding coklat, sebenarnya ada banyak lagi jenis puding yang lain. Lain kali saya akan kongsikan lagi jenis-jenis resepi puding yang ada. Kali ini anda cuba dulu resepi puding coklat yang istimewa ini. Selamat Mencuba!!!!

Resepi Puding Coklat South Carolina

Bahan-Bahan:

  • 3 sudu besar tepung jagung
  • ¼ cawan gula
  • 2 ½ cawan susu rendah lemak (boleh ganti dengan susu sejat)
  • 1 cawan coklat cip
  • ½ sudu besar unsalted butter (tolong JANGAN pakai salted butter)
  • 1 sudu besar perisa vanila

Cara-cara penyedian:

  1. Campurkan tepung jagung dan gula ke dalam bekas memasak (seeloknya periuk yang tidak digunakan untuk masakan lain. Kalau tak nanti melekat bau kari pula dalam puding anda)
  2. Perlahan-lahan tuang ½ cawan susu terlebih dahulu, pukul sehingga sebati. Kemudian, tambahkan baki 2 cawan susu dan pukul perlahan-lahan.
  3. Panaskan periuk tadi diatas api sederhana dan biarkan mendidih.
  4. Perlahankan api sedikit dan pukul lagi sehingga menjadi likat selama 3- 4 minit.
  5. Tutup api dan masukkan cip coklat,butter dan perisa vanila.Pukul lagi sampai betul-betul sebati.
  6. Masukkan puding anda tadi ke dalam 8 gelas kaca yang cantik lagi menarik. Boleh dihidangkan suam ataupun tutup gelas berisi puding tadi dengan plastik wrap dan simpan dalam peti sejuk. (Dah tentulah kena sejukkan dulu kan. Barulah terangkat)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *