Resepi Puding Roti

Resepi Puding Roti Simple Yang Terbaik Di Malaysia

Kali ini akan berkongsi dengan anda salah satu resepi puding yang sangat terkenal di negara kita iaitu resepi puding roti simple. Sebenarnya, puding roti ni bukanlah dikategorikan sebagai puding tradisional. Ianya baru-baru sahaja wujud, tapi disebabkan mungkin rasanya yang sangat sedap dan mengenyangkan, maka resepi puding roti ini menjadi menjadi kegilaan penggemar makanan-makanan manis terutamanya di negara kita. Saya yang tidak gemar makanan manis ini pun mengakui yang resepi puding roti ini memang sedap, ditambah pula sos kastard yang lemak manis berkrimnya itu.

Pada awalnya, saya pun agak pelik macam mana roti boleh dijadikan puding, sedangkan roti adalah sejenis makanan yang agak berat. Namun kombinasi antara roti dan sos kastard itu memang sangat menjadi dan sangat serasi apabila dimakan. Pada pendapat saya, yang menjadikan puding roti ini sangat hebat adalah kerana sos kastardnya. Saya dah jumpa banyak resepi puding roti, tetapi tidak ada lagi sos kastardnya yang betul-betul kena dengan selera saya. Jadi saya pun mula bereksperimen dengan semua resepi yang saya jumpa untuk dapatkan rasa sos kastard yang menepati citarasa saya.

Kebanyakan yang saya jumpa, semuanya sangat pekat dan manis sos kastard itu sampai timbul rasa memuakkan. Akhirnya saya jumpa cara dan resepi untuk mendapatkan rasa sos kastard yang saya mahukan itu. Kini saya nak berkongsi pula dengan anda hasil pencarian dan ujikaji tentang resepi puding roti simple yang saya dah lakukan selama ini. Selamat mencuba!

Resepi Puding Roti Simple

Bahan bahan:

  • 6 keping roti putih (apa-apa jenama) – potong empat segi atau carik-carikkan sahaja
  • 2 cawan susu segar (Boleh gantikan dengan susu sejat)
  • ½ cawan gula kaster
  • 1 sudu besar mentega
  • ¼ sudu kecil garam
  • 2-3 biji telur
  • 1 sudu kecil perisa vanilla
  • Sedikit kismis
  • Sedikit serbuk kayu manis

Cara cara memasak puding roti:

  1. Masukkan susu kedalam periuk dan panaskan susu seketika dan tutup api apabila susu hampir mendidih. Jangan biar sehingga mendidih.
  2. Masukkan roti ke dalam susu tadi dan tekan-tekan sedikit supaya roti terendam sepenuhnya.
  3. Kemudian, masukkan pula mentega, garam dan gula. Kacau rata dan biarkan sedikit sejuk sebelum dimasukkan telur supaya telur tidak masak.
  4. Akhir sekali, masukkan telur dan esen vanilla. Kacau rata. Untuk tambahan, boleh masukkan sedikit kismis dan serbuk kulit kayu manis.
  5. Puding roti ini boleh dimasak dengan pelbagai cara sama ada bakar di dalam ketuhar ataupun masak secara kukus sahaja di atas api. Kali ini saya memilih untuk membakar di dalam ketuhar. Jadi, sediakan loyang saiz sederhana (mengikut kapasiti adunan puding roti tadi)
  6. Sapukan loyang dengan sedikit mentega sebelum bahan adunan dimasukkan ke dalam loyang.
  7. Selepas itu, masukkan loyang ke dalam sebuah lagi bekas yang lebih besar dan diisi dengan air panas (lebih kurang teknik mengukus).
  8. Tetapkan suhu ketuhar pada 160-180 darjah celcius. Bakar selama lebih kurang 45 minit.

Bahan-bahan membuat sos kastard:

  • 1 tin susu cair
  • 2 sudu besar gula
  • 2 sudu tepung kastard
  • Sedikit tepung jagung (kalau tak suka sos pekat tak perlu letak)

Cara-cara Membuat Sos Kastard:

  1. Campurkan kesemua bahan kecuali gula dan masak di atas api perlahan. Kacau adunan sehingga sebati.
  2. Apabila sudah mendidih, baru masukkan gula. Pastikan anda sentiasa kacau setiap masa.
  3. Bagi yang sukakan sos yang agak pekat boleh masukkan sedikit tepung jagung dan kacau sehingga sos menjadi pekat.
  4. Setelah berpuas hati dengan keadaan sos, boleh tutup api dan dihidangkan bersama puding roti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *