Resepi Rendang Ayam

Resepi Rendang Ayam Traditional Ala Hari Raya

Kali ni saya nak berbalik semula kepada resepi hidangan tradisional. Rasanya tak perlu nak perkenalkan lagi, semua orang pasti tau akan hidangan rendang ni sebab setiap kali Hari Raya Aidilfitri, tidak sah kalau setiap rumah tidak menyediakan rendang untuk tetamu. Rendang ni ada macam-macam jenis juga sebenarnya, tapi untuk bahan utama biasanya orang gunakan ayam atau daging sahaja. Tapi jangan tak tau ada juga rendang ikan, cuma kurang popular sedikit berbanding ayam dan daging. Untuk kali ini, saya akan kongsikan dengan anda resepi rendang ayam yang biasa dulu.

Nanti bila ada kelapangan baru saya akan pergi kepada rendang model yang lain pula. Kena la belajar yang asas dulu kan, barulah boleh buat yang advance sikit. Nak cerita sikit pasal rendang ni, bukan setakat boleh dimakan dengan ketupat dan lemang sahaja tau. Kalau nak buat lauk harian pun boleh cuma ada sesetengah orang dia rasa pelik sikit. Mereka macam dah sebati dengan rendang hanya untuk Hari Raya dan dimakan dengan lemang atau ketupat sahaja. Bila nak makan dengan nasi dia rasa pelik, termasuklah isteri saya pada awal kami kenal dulu.

Katanya saya ni pelik sebab rendang orang cuma makan masa Hari Raya sahaja, mana ada makan dengan nasi. Padahal dia yang pelik…. tengok sekarang, dia pula yang lebih-lebih bedal rendang makan dengan nasi. Selain daripada makan dengan lemang, ketupat dan nasi, rendang juga boleh dijadikan serunding. Kebiasaannya rendang daging yang dijadikan serunding ni sebab tak ada tulang kalau dia hancur nanti. Cara nak jadikan rendang kepada serunding ni mudah sahaja. Anda hanya perlu panaskan sahaja rendang anda tu berkali-kali sampailah betul-betul kering dan dagingnya menjadi hancur. Hebat kan orang Melayu ni dalam mengelakkan pembaziran.

Bila dah jadi serunding tadi, maka bolehlah anda jadikan snek untuk makan depan TV, ataupun jadikan sebagai inti karipap ke, samosa ke ataupun buat inti popia simpul. Jadi tunggu apa lagi, cepatlah pergi cari bahan nak buat rendang anda mengikut resepi rendang ayam saya ni. Selamat mencuba!

Resepi Rendang Ayam

Bahan-bahan Kisar:

  • 30 tangkai cili kering
  • 20 tangkai cili padi
  • 3 inci kunyit hidup
  • 3 inci lengkuas

Bahan-bahan utama:

  • 1 ekor ayam
  • 10 biji bawang merah – Dikisar
  • 1 biji bawang putih – Dikisar
  • 3 inci halia – Dikisar
  • Minyak masak
  • 5 helai daun limau purut – Dihiris halus
  • 1 cawan santan
  • 3 ketul asam jawa
  • 3 sudu besar Kerisik
  • Sedikit gula Melaka
  • 5 helai daun kunyit – Dihiris halus
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
  • Air

Cara-cara masak:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali untuk menumis.
  2. Masukkan bawang merah kisar, bawang putih kisar, dan halia kisar.Tumis sehingga naik bau.
  3. Perlahankan sedikit api, kemudian masukkan bahan-bahan yang dikisar bersama tadi.(cili kering,cili padi, kunyit hidup dan lengkuas). Goreng hingga garing dan naik minyak.Kepada yang kurang makan pedas, tidak perlu masukkan cili padi.
  4. Selepas itu masukkan serai dan daun limau purut.
  5. Masukkan ayam yang telah dibasuh bersih dan gaul rata. Seeloknya untuk rendang, ayam dipotong kecil.
  6. Kecilkan sedikit lagi api dan masukkan santan. Gaul santan biar sebati dengan ayam. Masak hingga ayam masak.
  7. Langkah yang terakhir adalah masukkan kerisik, asam jawa, garam dan gula. Untuk dapatkan rasa yang lebih lemak manis saya gunakan juga sedikit gula melaka atau gula kabung. Kalau tak letak pu tak jadi masalah. Masak hingga rendang pekat/kering.
  8. Masukkan daun kunyit dan tutup api.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *