Resepi Roti Canai

Resepi Roti Canai Yang Original Dan Rangup

Saya dah lama nak kongsikan resepi roti canai yang satu ni dengan anda semua. Ini adalah makanan favorite saya untuk sarapan pagi. Dengan berbesar hatinya saya berkongsi resepi roti canai yang original dengan anda semua pada kali ini. Siapa yang tak makan roti canai memang rugi lah. Tapi sekarang dah susah nak cari gerai orang melayu yang buat roti canai sedap. Saya kurang sikit dengan roti canai mamak sebab selalunya mereka gunakan doh yang dibuat di kilang. Memang tak sama rasa roti canai yang dohnya dibuat secara tradisional dengan yang dibuat di kilang. Bab doh tu dah satu hal, ditambah pula dengan skill menebar yang agak kurang, maka memang tak berapa sedap lah roti canai tu. Itu belum lagi cerita bab kuah dal lagi. Jadi disebabkan kesukaran nak mencari roti canai yang sedap, saya pun cuba lah buat sendiri di rumah.

Secara asasnya resepi untuk doh roti canai ni sama sahaja di mana-mana pun. Yang membuatkan doh itu sedap atau tidak adalah bergantung kepada cara kita menguli doh itu nanti. Pada saya mudah sahaja, kalau perkara yang dibuat dengan teliti dan ambil masa, biasanya hasilnya lebih berkualiti. Sama juga dalam masakan, kalau masak tu nak cepat siap je, jadi rasa pun lebih kurang la juga. Untuk dapatkan doh roti canai yang sedap, anda perlu menguli berkali-kali sehingga doh itu sehingga betul-betul kenyal dan gebu. Sebab itu doh yang dibuat di kilang tak sedap. Sekali buat 100kg, 10 minit dah siap. Kalau kita buat sendiri di rumah, memang satu malam la kerja menguli doh sahaja. Tapi hasilnya, memang mantap dan padu. Kalau tak percaya, cuba anda ikut resepi roti canai yang saya kongsikan ini dan cuba buat sendiri di rumah. Selamat mencuba!!!

Resepi Roti Canai

Bahan-bahan doh:

  • 600 gram tepung gandum (boleh tambah mengikut keadaan kalau doh terlalu lembik)
  • 1 cawan air (bergantung kepada doh)
  • Sebiji telur gred A
  • 1 sudu besar susu pekat manis
  • 1 sudu besar garam
  • 1 sudu besar butter/marjerin

Cara-Cara Penyediaan Doh:

  1. Masukkan tepung gandum ke dalam bekas.
  2. Tuang air sedikit demi sedikit sehingga tepung gandum menjadi doh.
  3. Bancuh garam, susu pekat dan telur dalam satu bekas yang lain.
  4. Tuang bancuhan tadi ke dalam bekas doh tepung gandum.
  5. Adun dengan doh sehingga betul-betul sebati.
  6. Masukkan air sedikit lagi sekiranya doh agak kering atau boleh tambah sedikit tepung sekiranya doh terlalu lembih dan tidak boleh diuli.
  7. Uli doh selama 10 minit dan simpan seketika.
  8. Ulang proses menguli sebanyak beberapa kali sehingga doh betul-betul kental dan tidak pecah.
  9. Selepas mendapatkan doh yang cantik, bentukkan bulat-bulat sebelum disapukan dengan butter/marjerin. Anda boleh juga sapu doh dengan minyak masak.
  10. Simpan dalam peti sejuk selama 4 jam sebelum digunakan. Sebaiknya, simpan semalaman untuk dapatkan doh yang lebih kenyal.
  11. Keluarkan doh dari peti sejuk dan boleh ditebar.
  12. Untuk yang buat di rumah, anda boleh gunakan belakang talam ataupun tray yang rata. Sapukan permukaan dengan margerin ataupun minyak masak.
  13. Tekan-tekan doh sehingga leper dan nipis.Tebar beberapa kali dan lipat tebaran itu kepada betuk empat segi ataupun bulat.

Resepi Kuah Dal

Bahan-bahan:

  • 1 cawan kacang dal
  • 2 batang carrot dihiris (jangan nipis sangat)
  • 1 biji terung sederhana besar dihiris (jangan nipis sangat)
  • 2 biji kentang dibelah
  • sedikit serbuk kunyit
  • 1 inci halia diracik
  • 2 biji bawang putih diracik
  • 3-4 biji bawang kecil dimayang
  • 1 tangkai daun kari
  • 2 kuntum bunga cengkih
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • 3 biji besar cili hijau
  • minyak untuk menumis
  • sedikit garam
  • sedikit gula

Cara-cara Penyediaan:

  1. Basuh kacang dal dan masukkan dalam periuk. Masukkan air agak banyak dan rebus kacang dal dengan api perlahan sehingga empuk. Masukkan sedikit serbuk kunyit.
  2. Apabila kacang dal sudah empuk, tambah sedikit air sekiranya air terlalu sedikit. Masukkan pula karot dan kentang ke dalam rebusan dal tadi. Rebus lagi sehingga karot dan kentang pula empuk.
  3. Setelah karot dan kentang empuk, masukkan terung dan cili besar hijau. Rebus seketika sehingga terung betul-betul masak. Biarkan mereneh perlahan.
  4. Panaskan minyak dalam kuali, dan tumiskan bahan penumis seperti bawang merah, bawang putih, halia, kulit kayu manis, bunga lawang, biji sawi dan bunga cengkih. Goreng sehingga naik bau dan tutup api.
  5. Tuang bahan yang ditumis tadi ke dalam periuk rebusan kuah dal. Masukkan daun kari dan perasakan dengan sedikit garam dan gula.
  6. Siap untuk dihidangkan dan dimakan dengan roti canai.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *