Resepi Roti Jala

Resepi Roti Jala Terbaik Dan Ringkas Dimasak

Kembali lagi kita bersiaran. Kali ini saya akan berkongsi pula resepi sejenis kuih tradisional tempatan iaitu resepi roti jala. Saya masih ingat lagi sewaktu kecil kalau pergi ke pekan sehari (macam pasar malam) pasti tidak lepas untuk membeli roti jala. Biasanya roti jala ni pasangannya adalah kuah kari. Keunikan roti jala ni, ianya dapat menaikkan rasa kuah kari. Sekarang sudah agak sukar nak jumpa penjual roti jala di pasar malam. Biasanya saya kalau dirumah apabila ada kuah kari yang lebih dan tidak habis, saya akan buat roti jala untuk dicicah dengan kuah kari yang tidak habis itu. Jadi tidaklah membazir kan.

Proses untuk membuat roti jala ini mengikut resepi roti jala yang saya kongsi ini sangatlah mudah. Anda hanya perlu adun semua bahan sahaja. Bahan-bahan yang digunakan juga memang bahan yang saya rasa ada di setiap rumah. Roti jala ni anda boleh jadikan sarapan pagi, boleh dimakan waktu petang dan juga makanan lewat malam. Ada juga yang bertanya kepada saya, memanglah nak buat adunan roti jala itu senang, tetapi nak buat bentuk jala itu yang mereka tidak tahu. Mereka ingat memang kita kena ukir sampai dapat bentuk jala tu kot. Sebenarnya memang dah ada acuan yang khas untuk membuat bentuk roti jala tu. Anda boleh cari di kedai kek ataupun di kedai peralatan dapur. Bentuknya macam gelas tetapi ada 3 muncung tajam di bahagian bawahnya. Dari muncung itulah nanti akan keluarnya adunan roti jala anda. kemudian pandai-pandailah buat bentuk di atas kuali leper.

Sekarang ni lagi mudah sebab dah ada bekas yang sama tapi disatukan dalam bentuk botol. Jadi anda hanya perlu tuang sahaja semua adunan roti jala anda ke dalam botol tersebut dan picit untuk keluarkan adunan. Rupanya macam botol mayonis tapi ada 3 muncung. Jadi tunggu apa lagi… selamat mencuba!

Resepi Roti Jala

Bahan-bahan:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 3 cawan air
  • ½ cawan susu sejat
  • 1 biji telur ayam
  • 1 sudu kecil garam
  • Sedikit pewarna kuning telur (kalau nak kelainan letak je warna apa pun)
  • 2 ½ sudu besar minyak masak

Cara-cara Penyediaan:

  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam bekas adunan. Adun perlahan sehingga sebati. Kalau tak ada mesin pengadun boleh kisar sahaja menggunakan pengisar biasa sahaja.
  2. Gunakan kuali yang leper seperti kuali burger. Kalau pakai kuali biasa, nanti kurang cantik jalaan anda.
  3. Sapukan sedikit margerin ataupun minyak masak ke atas kuali leper.
  4. Masukkan adunan roti jala tadi ke dalam bekas khas untuk membuat roti jala. Biasanya bekas itu mempunyai 3 lubang untuk mengeluarkan adunan roti jala anda. Ada juga bekas yang menggunakan botol. Cara ini lebih mudah dan kurang berselerak.
  5. Menggunakan bekas khas itu, buat bentuk berjaring di atas kuali leper. Saiz dan bentuk roti jala adalah bergantung kepada kreativiti anda sendiri. Kalau nak tebal, lebihkan sedikit.
  6. Masak roti jala anda dengan api yang perlahan supaya tidak hangit.
  7. Setelah masak, bolehlah digulung ataupun dibentuk mengikut citarasa anda.
  8. Siap untuk dihidangkan bersama kuah kari.

Aku nak bagitau untuk buat roti jala ni ada 2 jenis alat tau. Kalau orang lama dulu biasa guna yang jenis macam corong tu, yang berwarna kuning. Aku ada satu jugak kat rumah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *