Resepi Sambal Belacan

Resepi Sambal Belacan Paling Power Dan Terangkat

Resepi yang saya akan kongsikan dengan anda kali ini bukanlah satu hidangan utama, sebaliknya hidangan sampingan yang memang terbukti mampu membuka selera makan anda. Resepi sambal belacan bunyinya agak lucu juga pada saya, kerana sebelum ini tak pernah pula saya terfikir sambal belacan pun boleh dijadikan resepi.

Walaupun sambal belacan jatuh kepada kategori juadah sampingan, tetapi anda jangan tak tahu, ada sesetengah orang menjadikan sambal belacan sebagai menu utama mereka. Kalau zaman dahulu, perkara itu tidaklah pelik kerana kesusahan yang dialami menyebabkan masyarakat kampung hanya mampu untuk menjadikan sambal belacan sebagai menu utama makanan mereka. Namun hari ini, rasanya masyarakat kita tidaklah sedaif dahulu lagi, tetapi masih ada juga yang menjadikan sambal belacan sebagai lauk utama mereka walaupun mereka mampu untuk menyediakan lauk-pauk lain yang lebih mewah. Disinilah berhantunya sambal belacan ni. Kadang-kadang, cukup hanya menambah ulam-ulaman sebagai jodoh sambal belacan, tengoklah macam mana bertambah nasi tu nanti. Tapi bukan semua sambal belacan yang mampu membuka selera sehingga ke tahap itu.

Adakalanya, langsung tak menyelerakan. Selain daripada perbezaan resepi sambal belacan yang sedap atau pun tidak, ada faktor lain yang menjadi sebab utama sambal belacan yang anda buat kadang-kadang kurang berhantu walaupun anda dah ikut resepi sambal belacan yang power macam yang saya kongsikan ini. Kenapa jadi macam tu??? Saya sendiri pun awal-awal belajar memasak dulu tak faham kenapa sambal belacan yang saya buat tidak jadi sesedap yang saya biasa makan di kampung. Dah puas adjust resepi ikut macam-macam petua tetapi keputusannya masih juga sama. Rupa-rupanya baru saya jumpa, yang menjadi faktor utama dan penentu kesedapan sambal belacan adalah belacan itu sendiri.

Jadi selain daripada berkongsi resepi sambal belacan yang sedap ini, saya juga bagi tips kepada anda. Pastikan belacan yang anda gunakan adalah belacan yang berkualiti tinggi dan dibuat secara tradisional. Antara tempat yang saya rasa mempunyai belacan yang berkualiti setakat ini adalah belacan buatan negeri kedah. Lepas ni kalau-kalau kelapangan, anda belilah banyak-banyak stok belacan yang sedap simpan di rumah masing-masing. Sebab anda tidak akan dapat belacan yang sedap di kedai runcit ataupun pasaraya-pasaraya.

Resepi Sambal Belacan

Bahan-Bahan:

  • 1 inci belacan
  • 4 ulas bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 5 biji cili besar merah
  • 8 biji cili padi
  • 3 sudu besar gula
  • 1 sudu gula kabung
  • Sedikit garam
  • 1 sudu besar cuka makan
  • 5 biji limau kasturi
  • Sedikit ajinomoto

Cara-cara penyediaan:

  1. Basuh bersih bawang merah, bawang putih, cili besar merah dan cili padi.
  2. Panaskan kuali dan masukkan bawang merah, bawang putih, cili besar merah dan cili padi. Goreng tanpa minyak sebentar. Sentiasa kacau supaya tidak hangit. Apabila bahan-bahan mula menjadi kekuningan tutup api dan biar sejuk sebentar.
  3. Bakar belacan di atas api sehingga belacan menjadi kering.
  4. Masukkan semua bahan-bahan yang telah digoreng tadi kedalam mesin pengisar. Masukkan gula putih, gula kabung, garam, ajinomoto, cuka makan dan belacan yang telah dibakar tadi.
  5. Kisar semuanya sehingga betul-betul halus. Sesekali cuba rasa sama ada sudah cukup bahan perasanya. Jika ada yang terkurang sila tambah mengikut citarasa anda dan kisar semula sehingga sebati. Setelah berpuas hati, barulah dikeluarkan dari pengisar dan masukkan ke dalam bekas.
  6. Belah dua buah limau kasturi dan perah jusnya ke dalam sambal anda tadi. Kacau rata supaya rasa jus limau itu menyerap masuk sebati ke dalam adunan sambal anda. Anda perlu rasa sedikit untuk pastikan semuanya mengikut citarasa anda. kalau ada bahan yang terkurang masih boleh ditambah.
  7. Setelah siap, bolehlah ditutup rapi dan disimpan di dalam peti sejuk. Sambal belacan memang tahan lama kalau disimpan dengan betul. Pastikan anda tidak mencelup tangan ke dalam bekas sambal, dan juga tidak mengaut sambal dengan sudu yang telah terkena makanan lain untuk mengelakkan sambal anda cepat basi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *