Resepi Sup Ayam

Resepi Sup Ayam Yang Mudah Dan Ringkas

Seingat saya, sebelum ini saya ada pernah kongsikan resepi bihun sup. Kali ini saya akan kongsikan pula resepi sup ayam. Mungkin ada yang menganggap sup untuk bihun sup itu sama sahaja dengan sup yang lain, tapi sebenarnya ada perbezaannya. Sup yang dijadikan bihun sup tu biasanya lebih cair berbanding dengan sup biasa. Rasanya juga agak sedikit tawar untuk bihun sup, kerana akan dihidangkan sekali dengan sambal kicap.

Jenis-jenis Sup Di Malaysia

Oleh kerana saya pasti di masa akan datang saya akan kongsikan lagi resepi-resepi sup yang berbeza, maka kali ini saya akan ceritakan serba sedikit tentang beberapa jenis sup yang biasanya ada di negara kita. Sebab nanti ada juga yang bertanya apa beza sup hari tu dengan sup yang ini. Letih juga nak menjawab berkali-kali. Secara amnya, sup yang paling biasa dan popular di dalam Malaysia ada tiga jenis:

Sup Melayu biasa

Sup ini adalah resepi turun temurun orang Melayu yang lebih mudah dan ringkas. Tidak terlalu banyak rempah yang digunakan, hanya sekadar beberapa bahan asas sahaja. Singgang juga pada asasnya adalah sejenis sup tetapi lebih popular di kawasan negeri pantai timur.

Sup Mamak

Sup jenis ini lebih pekat dan berempah berbanding sup Melayu. Kandungan herba dan rempah yang digunakan di dalam sup ini agak banyak dan boleh memanaskan badan kerana pada asalnya itulah tujuan sup mamak ini dibuat.

Sup Siam/Thailand

Sup yang ini pula lebih pedas berbanding sup yang lain. Kalau dilihat, sup melayu langsung tidak mempunyai rasa pedas manakala sup mamak pula lebih kepada rasa hangat herba. Sup Siam ini juga ada rasa masam yang tidak ada pada sup lain. Tom Yam juga sebenarnya adalah di dalam kategori sup.

Secara umumnya begitulah jenis-jenis sup yang popular di negara kita. Ada lagi sup-sup yang lain tetapi agak kurang dikenali dan agak susah didapati secara terbuka. Sebagai contoh, kaum cina ada sup mereka turun temurun juga, tetapi agak susah untuk kita jumpa orang yang menjualnya. Takkan kita nak terjah ke restoran yang tidak halal pula. Jadi untuk resepi sup ayam saya pada kali ini adalah gabungan antara sup melayu dan juga sup mamak kerana saya ada gunakan campuran rempah sup yang kebiasaanya digunakan untuk membuat sup mamak. kalau anda nak tau bagaimana rasanya, cubalah praktikkan resepi sup ayam yang saya kongsikan ini. Selamat mencuba!!!

Resepi Sup Ayam

Bahan-bahan:

  • ½ ekor ayam – 600 gram
  • 1 paket kecil Rempah Sup Adabi
  • 1 paket sup bunjut
  • 2 biji ubi kentang
  • ½ batang karot
  • 2 batang saderi
  • ½ sudu besar garam atau secukup rasa
  • Air secukupnya
  • Sedikit minyak
  • Daun sup
  • Bawang goreng

Bahan Tumbuk:

  • 3 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

Cara-cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga naik bau wangi dan bewarna kekuningan.
  2. Masukkan air mengikut kesesuaian.
  3. Kemudian,masukkan ubi kentang dan karot.Kedua bahan ini perlu dimasukkan awal kerana agak lama untuk empuk.
  4. Bancuh rempah sup dengan sedikit air.Tuang campuran rempah sup adan air tadi ke dalam periuk.
  5. Reneh sehingga mendidih. Masukkan ayam yang telah dibersihkan.
  6. Perasakan dengan garam. masukkan sup bunjut
  7. Setelah ayam hampir masak, masukkan batang saderi.Sebelum api ditutup,masukkan sedikit daun sup untuk menaikkan aromanya.
  8. Sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng dan sedikit lagi daun sup.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *