Resepi Udang Galah

Resepi Udang Galah Masak Sambal Lemak Power

Wah… kali ni kita upgrade sikit daripada resepi udang sebelum ni yang menggunakan udang biasa kepada udang galah. Resepi yang saya akan kongsi kali ini adalah resepi udang galah masak sambal lemak. Pelik sikit bunyinya kan??? Dah la sambal, lemak pula. Sebabnya sambal ini ditambah dengan sedikit santan untuk dapatkan rasa lemak daripada santan itu. Jadi walaupun resepi ini adalah resepi sambal, tapi ianya tidak terlalu pedas dan rasanya sesuai untuk seisi keluarga termasuk anak-anak. Yela tak adil la kalau buat pedas-pedas, nanti mak ayah je yang bedal udang galah, anak-anak makan telur dadar saja.

Udang Galah

Ok, kali ni saya nak lari sikit dari bebelan biasa. Saya nak sampaikan serba sedikit maklumat berkaitan bahan utama dalam resepi udang galah kita kali ini iaitu udang galah. Udang galah ataupun si sepit biru ni sangat istimewa dan dekat dengan masyarakat kita. Fakta pertama yang saya nak kongsi dengan anda tentang udang galah ini ialah udang galah merupakan spesis udang air tawar yang terbesar di dunia dan hanya boleh didapati di Asia tenggara dan India sahaja. Hebat kan udang kita ni??? Udang galah ni boleh membesar sehingga 12 inci dan berat lebih daripada setengah kilo. Kalau dikalangan kaki pancing, mereka panggil udang galah ni Jenggo. Saya pun tak tau asal usul nama tu, tapi apa yang pasti memang udang galah banyak di kawasan yang ada buaya kerana udang galah akan makan parasit-parasit yang ada di badan buaya. Jadi hati-hati la kalau dapat banyak udang galah tu.

Disebabkan habitat udang galah ni dah agak terancam, maka harga untuk sekilogram udang galah liar boleh mencecah sehingga RM 60-80. Kalau yang diternak dalam kolam pula, harganya antara RM28-38 sekilogram kerana udang galah yang diternak ni sangat lambat membesar jadi harganya pun agak mahal walaupun diternak. Jadi kepada yang tidak pernah merasa keenakan udang galah ni, bolehlah nanti cari di pasar dan masak mengikut resepi udang galah yang saya kongsikan ini. Selamat mencuba!

Resepi Udang Galah

Bahan-bahan pes cili kering:

  • 100 gram Cili kering
  • 4 ulas Bawang besar merah
  • 5 ulas bawang putih
  • Sedikit minyak masak

Cara-cara penyediaan:

  1. Rebus cili kering sehingga lembut. Tunggu sejuk dan toskan airnya.
  2. Potong bawang besar merah dan masukkan ke dalam pengisar bersama bawang putih.
  3. Masukkan sedikit air, sedikit minyak masak dan cili kering yang sudah direbus.
  4. Kisar sehingga halus.

Bahan-bahan utama:

  • 5 ekor udang galah sederhana
  • 1 inci belacan bakar
  • ½ cawan santan pekat
  • 2 batang serai – diketuk
  • 2 inci lengkuas – dikisar halus
  • Sedikit minyak masak untuk menumis
  • Air secukupnya
  • 2 sudu besar gula kabung
  • Gula putih secukup rasa
  • Garam secukup rasa
  • Bahan perasa ajinomoto secukup rasa
  • Sedikit air perahan asam jawa
  • Daun kunyit – dihiris halus

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak masak di dalam kuali.
  2. Masukkan lengkuas kisar bersama dengan pes cili kering. Perlahankan api dan kacau biar sebati.
  3. Goreng sehingga keluar minyak. Setelah keluar minyak, masukkan sedikit air dan kacau rata.
  4. Masukkan belacan, garam, gula kabung dan gula putih. Kacau sehingga sebati. Pastikan api perlahan supaya bahan tidak hangit.
  5. Masukkan santan dan air perahan asam jawa. Perasakan dengan sedikit bahan perasa ajinomoto.
  6. Setelah itu baru masukkan udang galah yang sudah dibasuh bersih. Seperti biasa, udang apa pun memang tidak boleh dimasak lama. Agak-agak udang hampir masak, taburkan hirisan daun kunyit untuk dapatkan aroma yang istimewa.
  7. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *