Resepi Udang Masak Lemak

Resepi Udang Masak Lemak dengan Peria

Kembali lagi kita bersiaran, kali ini saya akan bawakan anda satu resepi yang menggunakan udang iaitu resepi udang masak lemak dengan peria. Rasanya sebelum ini saya belum pernah lagi kongsikan resepi yang melibatkan udang. Resepi ini sangat istimewa bagi saya kerana ini adalah antara makanan favorite saya, tapi yang mak saya masak la. Biasa la tukang masak ni dia memang suka masakkan untuk orang lain tapi untuk diri sendiri dia lebih suka orang lain yang masakkan. Asalnya saya nak kongsi resepi udang masak lemak belimbing buluh, tapi memandangkan agak susah nak dapatkan belimbing buluh, terutamanya di kawasan bandar maka saya tukar dengan peria sebab saya lebih suka berkongsi resepi yang praktikal dan boleh dibuat oleh setiap orang. Kalau dah bahan pun pelik-pelik susah nak dapat, buat apa anda belajar resepi dari saya.

Ok, saya nak cerita sedikit tentang masak lemak ataupun sesetengah orang panggil gulai lemak. Setakat ini gulai lemak ni ada dua jenis. Satu gulai lemak biasa yang kadang-kadang ada juga panggil masak lemak cili api sedangkan memang dah masak lemak biasa ni gunakan cili api pun. Kedua, ada masak lemak putih yang mana dah tentu warna putih dan bukannya kuning macam masak lemak biasa serta ianya tidak menggunakan cili langsung. Kata mudahnya, masak lemak putih ni adalah versi masak lemak yang tak pedas. Apa yang meyebabkan masak lemak biasa itu berwarna kuning adalah kerana kita menggunakan kunyit yang ditumbuk dengan cili api dan bawang.Tambah santan, maka jadilah masak lemak cili api. Semudah itu sahaja sebenarnya nak masak gulai lemak ni, tapi percayalah saya cakap ramai yang gagal. Kenapa ramai yang gagal memasak lauk yang sangat mudah ini??? Semuanya terletak pada skill ‘menimbuk’ gulai ataupun bahasa biasanya mengacau gulai lemak supaya tidak pecah santan.

Selain daripada rasa gulai lemak itu, keadaan fizikal gulai lemak yang pecah santan juga akan menyebabkan gulai tersebut kurang menyelerakan. Jadi tips saya hari ni untuk anda yang baru-baru nak belajar masak gulai lemak ni, tidak kiralah kuning atau putih, pastikan anda sentiasa mengacau gulai lemak selepas sahaja santan dimasukkan sampailah mendidih. Lebih baik sampai siap terus sebab masak lemak ni bukannya lama sangat pun. Jom tengok resepi udang masak lemak dengan peria yang saya kongsikan ini. Selamat mencuba!!

Resepi Udang Lemak

Bahan-bahan:

  • 1 kg udang saiz sederhana atau besar
  • Sebiji peria muda – potong kecil
  • 1 ½ cawan santan pekat
  • Sedikit garam
  • 2 sudu besar gula
  • Sedikit perasa ajinomoto mengikut rasa
  • 6 ulas bawang merah
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 sudu besar udang kering
  • 1 batang serai (pilihan, tak bubuh pun tak apa)
  • 6-10 batang cili padi ( ikut selera masing-masing )

Cara-cara penyediaan:

  1. Bersihkan udang, buang kepala dan juga buang urat tengah udang yang boleh mengakibatkan penyakit gaut.
  2. Tumbuk cili padi bersama dengan bawang merah dan juga kunyit hidup sehingga hancur. kalau nak kisar pun boleh tetapi memang ada beza sedikit. lagi sedap kalau ditumbuk.
  3. Kemudian masukkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi ke dalam periuk. Masukkan sedikit air dan pasang api perlahan. Air jangan terlalu banyak. cukup sekadar untuk melarutkan dan mengelakkan bahan-bahan tumbuk itu hangit.
  4. Masukkan peria yang sudah dipotong. Masukkan garam, gula dan bahan perasa.
  5. Selepas itu barulah masukkan santan dan kuatkan sedikit api. Pastikan anda sentiasa kacau tanpa henti sehingga gulai anda mendidih. Ini untuk mengelakkan pecah santan. Kalau pecah santan memang gulai itu dianggap gagal.
  6. Setelah mendidih, baru masukkan udang. Jangan masak terlalu lama setelah udang dimasukkan kerana udang tidak boleh dimasak lama nanti agak liat. Bila udang sudah masak, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
  7. Boleh dihidang bersama nasi putih dan sambal belacan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *