Resepi Wedges Kentang

Resepi Wedges Kentang Original Ala KFC

Salam sejahtera semua. Saya baru sahaja pulang dari membedal ayam KFC tadi. Saya ni memang peminat setia ayam goreng si Colonel Sanders tu. Entah apa jampi la yang dia pakai, sampaikan saya wajib pekena ayam goreng KFC dia setiap bulan. Kalau nak diikutkan, saya ni bukanlah jenis penggila makanan segera, tetapi KFC ni terkecuali. Walaupun saya cerita pasal ayam, tetapi hari ni yang saya terasa nak kongsi dengan anda adalah satu resepi yang bukan daripada ayam tetapi memang sinonim dengan KFC. Anak-anak buah saya dengan mak saya cukup suka benda alah ni kalau pergi ke KFC iaitu potato wedges. Disebabkan saya dah pernah buat sendiri di rumah, maka kali ini saya akan berkongsi pula dengan anda semua resepi wedges kentang yang sedap dan hampir serupa dengan yang original.

Ditambah pula pakej saya bagi sekali dengan resepi sos cheesy leleh yang pastinya akan membuatkan anda menjilat jari. Pada pandangan saya, potato wedges ni dapat sambutan kerana sos cheesy dia tu yang memang sangat unik dan sedap. sebelum itu saya nak bagitau la sikit pada yang tak tau, maksud wedges disini adalah potongan kentang itu yang berbentuk baji kalau dalam bahasa melayunya. Anda bebas untuk potong macam mana bentuk sekalipun, nak potong memanjang ke, bulat-bulat ke, ikut suka hati lah. Nama sahaja wedges, kerana resepi ini adalah resepi yang diadaptasi daripada potato wedges KFC tu.

Kelainan resepi wedges kentang ini dengan french fries adalah cara memasak kentang itu sendiri. Kalau french fries, kentang akan digoreng terus tetapi untuk resepi wedges kentang ini, kentang harus direbus sehingga empuk terlebih dahulu barulah digoreng untuk mendapatkan tekstur yang lebih lembut di dalam.

Resepi Wedges Kentang

Bahan-bahan:

  • 7 biji kentang bersaiz besar (dicuci bersih, dipotong wedges)
  • ½ kiub pati ayam
  • Air secukupnya.
  • 4 sudu besar tepung gandum
  • 4 sudu besar tepung jagung
  • ½ sudu kecil serbuk kunyit
  • ½ st lada hitam

Cara-cara penyediaan:

  1. Kupas kentang dan basuh bersih. Potong kentang dalam bentuk wedges.
  2. Masukkan air kedalam periuk dan rebus kentang sehingga empuk. Setelah empuk, keluarkan kentang dan toskan airnya.
  3. Masukkan tepung gandum, tepung jagung dan serbuk kunyit ke dalam satu bekas. Masukkan sedikit air dan bancuh sehingga sebati.
  4. Tambahkan sedikit serbuk lada hitam dan kiub pati ayam ke dalam adunan tadi. Gaul rata sehingga adunan menjadi pekat.
  5. Setelah adunan betul-betul pekat, masukkan kentang yang sudah direbus. Gaul kentang supaya setiap bahagian diselaputi oleh adunan.
  6. Panaskan minyak di dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas.
  7. Goreng kentang yang sudah bersalut adunan tadi sehingga berwarna perang keemasan. Angkat dan toskan lebihan minyak.
  8. Siap untuk dihidangkan bersama dengan sos cheesy ataupun mayonis.

Resepi Sos Cheesy

Bahan-bahan Sos Cheesy:

  • 1 cawan susu segar (atau susu sejat )
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • ¼ kiub pati ayam
  • ½ sudu kecil serbuk lada putih
  • 2 keping cheese
  • 1 sudu besar mentega

Cara-cara penyediaan:

  1. Cairkan mentega didalam kuali dan masukkan susu bersama tepung gandum. Sentiasa kacau supaya tepung gandum larut sempurna dan tidak berketul-ketul.
  2. Tambah kiub pati ayam bersama lada putih.
  3. Sentiasa kacau dalam api perlahan.
  4. Bila sos mulai pekat sedikit, masukkan kepingan cheese.
  5. Kacau sebati sehingga cheese larut. Matikan api.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *